KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) -- Bekas jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai seorang pemimpin yang sentiasa memastikan kebajikan serta kesejahteraan pemain dan barisan jurulatih pasukan bola itu pada tahap terbaik.
Beliau berkata kepimpinan Bung Moktar ketika menggalas peranan sebagai Presiden Bola Sepak Sabah (SAFA) turut terserlah melalui kepercayaan penuh diberikan kepada beliau untuk memimpin kejurulatihan pasukan itu tanpa sebarang campur tangan.
Menurut Kim Swee, Bung Moktar merupakan individu penting yang membuka peluang sekali gus memberi keyakinan kepadanya untuk mengemudi pasukan Sabah FC, selain melihat bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu sebagai seorang pejuang dan pemimpin berwibawa.
"Datuk Bung membawa saya ke Sabah untuk berkhidmat di bawah beliau, dan bagi saya, beliau seorang pejuang dan pemimpin. Dari situ, saya mendapat satu talian cukup baik bersama Datuk Bung.
"Beliau memberi kepercayaan 100 peratus kepada saya dan tidak masuk campur. Datuk Bung Moktar juga selalu memastikan kebajikan pemain dan para jurulatih terpelihara, selain sentiasa memikirkan perkara yang terbaik untuk setiap individu dalam pasukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Bung Moktar di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Kim Swee, yang mengemudi Sabah FC antara 2021 hingga 2024 berkata pemergian Bung Moktar merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada rakyat Sabah tetapi juga arena bola sepak negeri itu.
Bung Moktar, 66, yang merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi.
Allahyarham mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial