SUKAN > BERITA

FAM Terima Keputusan FIFA, Teliti Tindakan Susulan - Pemangku Presiden

03/11/2025 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima keputusan rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini, yang menolak rayuan berhubung isu tujuh pemain warisan negara.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya akan menulis kepada FIFA bagi mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis berhubung keputusan berkenaan, sebelum menentukan langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut.

“Walau bagaimanapun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap FAM dan tujuh pemain warisan, atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).

Tujuh pemain warisan tersebut ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao  Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Menerusi laman web rasmi FIFA, Jawatankuasa Rayuan memaklumkan bahawa selepas meneliti segala hujahan dan mengadakan sesi pendengaran, jawatankuasa berkenaan memutuskan untuk menolak rayuan serta mengekalkan hukuman dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan terbabit.

Susulan itu, FAM diperintahkan membayar denda CFH350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CFH2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.

Sebelum ini, FIFA memaklumkan bahawa FAM telah mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

FAM kemudiannya menjelaskan bahawa pihaknya telah mengenal pasti berlaku kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain berkenaan, yang dilakukan oleh seorang kakitangan pentadbiran.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John berkata pihaknya hanya akan memulakan semakan tatatertib melalui jawatankuasa tatatertib selepas keputusan muktamad diterima daripada FIFA atau CAS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan