SUKAN > BERITA

Ruoning Tekad Pertahan Kejuaraan Golf Maybank 2025

28/10/2025 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pemain golf China Yin Ruoning berazam mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Golf Maybank 2025 bernilai USD3 juta (RM12.60 juta)  yang bakal berlangsung di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara, bermula Khamis ini.

Bagaimanapun, pemain nombor tujuh dunia berusia 23 tahun itu mengakui tugas berkenaan bukan sesuatu yang mudah, khususnya dengan kehadiran barisan pemain handalan dunia, namun tetap bersemangat untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Saya memang mahu mempertahankan kejuaraan, tetapi ramai pemain hebat beraksi minggu ini. Saya lihat pemain Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) semakin meningkat kerana tahun ini hanya seorang sahaja berjaya muncul juara berganda.

“Jadi, saya percaya peluang itu tetap ada, cuma saya perlu bermain dengan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada edisi tahun lepas, Ruoning muncul juara dengan lelebihan satu pukulan ke atas pemain Thailand Jeeno Thitikul dengan jumlah 23 bawah par 265.

Sementara itu, Jeeno berharap tidak lagi berdepan kekecewaan sama selepas sekadar muncul naib juara dua kali berturut-turut selepas edisi sulung pada 2023.

“Saya pastinya mahu memburu kemenangan kali ini. Ini antara kejohanan kegemaran saya. Saya amat teruja melihat sokongan padu peminat sejak tahun pertama hingga sekarang,” katanya.

Edisi tahun ini menyaksikan saingan sengit melibatkan 78 pemain termasuk 16 bintang ternama dunia yang memburu gelaran juara dalam kejohanan berprestij itu.

Antara pemain yang bakal mencuri tumpuan ialah wakil Australia, Grace Kim; bintang meningkat naik dari Jepun, Miyu Yamashita; serta sensasi England, Lottie Woad, yang mengejutkan ramai apabila menjuarai Terbuka Scotland  pada penampilan profesional pertamanya Julai lepas.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan