SERDANG, 15 Okt (Bernama) -- Pemain golf negara Liyana Durisic muncul juara Ladies’ Golf Tournament (The Ladies') 2025 yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club di sini dengan catatan keseluruhan dua bawah par 211.
Pemain berusia 24 tahun itu menunjukkan ketenangan yang luar biasa sepanjang pertandingan untuk merangkul gelaran juara serta membawa pulang hadiah wang tunai RM17,500.
“Saya sangat gembira dengan cara saya bermain hari ini. Saya berpegang pada pelan permainan, kekal tenang dan tidak cuba melakukan sesuatu yang berani atau luar biasa. Saya hanya bermain dengan tenang, stabil dan ia berhasil.
“Saya rasa ini adalah insentif yang sangat baik terutamanya untuk pemain golf Malaysia kerana kebiasaan hadiah hanya bernilai RM10,000. Untuk kami menerima jumlah yang lebih besar adalah satu dorongan yang baik,” katanya kepada Bernama hari ini.
Liyana berkata beliau berharap agar kejohanan wanita akan datang terus menawarkan ganjaran menarik untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan dan meningkatkan tahap golf wanita di Malaysia.
Aksi seterusnya bagi pemain itu adalah di Kejohanan Maybank dari 30 Okt hingga 2 Nov di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) dengan beliau berhasrat meneruskan prestasi cemerlangnya di hadapan peserta antarabangsa.
Sementara itu, bakat muda Malaysia Amberly Zaira menyerlah selepas merangkul gelaran Amatur Terbaik dengan jumlah 227 pukulan.
Kejohanan format stroke play 54 lubang yang dianjurkan oleh Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM) dan disahkan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) bertujuan untuk meningkatkan martabat golf profesional wanita di negara ini sambil menyediakan platform kepada bakat baru untuk bersaing di venue bertaraf dunia.
Dianjurkan di The Mines Resort & Golf Club, acara ini meneruskan legasi kejohanan terkemuka di lapangan berkenaan, yang sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia Golf 1999 dan Piala Dunia Golf Wanita 200 yang menampilkan legenda seperti Annika Sörenstam, Se Ri Pak dan Karrie Webb.
Kejohanan itu menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM100,000 dengan juara membawa pulang RM17,500.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial