KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Skuad sepak takraw negara dijangka tidak berdepan masalah untuk menempah slot ke peringkat kalah mati acara regu pada Sukan SEA Thailand 2025 selepas menerima undian yang dianggap mudah, hari ini.
Pada majlis undian yang berlangsung di Bangkok, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Laos dan Vietnam, manakala tuan rumah, Thailand, berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Singapura.
Bagi acara regu berpasukan lelaki, Malaysia juga diramal tidak menghadapi masalah untuk mara ke pusingan seterusnya apabila diletakkan dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Filipina dan Singapura.
Bagaimanapun, situasi berbeza bagi acara regu wanita apabila skuad negara dijangka berdepan cabaran sengit apabila dijadual bertemu Thailand, Vietnam dan Indonesia secara format round robin.
Bagi acara berpasukan wanita pula, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Myanmar dan Kemboja.
Sementara itu, bagi acara kuadran lelaki, Malaysia berada dalam Kumpulan B yang turut menampilkan Laos, Kemboja, Singapura, Brunei dan Vietnam.
Skuad kuadran wanita pula dijangka berdepan tugas getir selepas diundi bersama Thailand, Myanmar dan Indonesia.
Untuk rekod, pada edisi lalu, skuad sepak takraw negara meraih empat pingat perak dan empat gangsa secara keseluruhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial