SUKAN > BERITA

Terengganu, Young Tigress Pertahan Kejuaraan Piala Tun Abdul Razak

11/10/2025 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan hoki Piala Tun Abdul Razak 2025 selepas menewaskan Pahang 4-2 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Skuad Terengganu mempamerkan aksi luar biasa dengan menguasai perlawanan sejak dari awal permainan sebelum memecah kebuntuan menerusi jaringan padang Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee pada minit ke-19.

Penyerang sensasi negara Faizal Saari kemudian mengukuhkan penguasaan Terengganu menerusi pukulan penalti strok pada minit ke-23.

Berselang enam minit kemudian, Faizal terus menampilkan bisanya apabila meledak jaringan kedua peribadi dengan gerakan solo menarik, menjadikan kedudukan 3-0.

Pada suku ketiga, Terengganu kian garang dengan menambah satu lagi gol menerusi Darwisy Hamdan pada minit ke-36.

Pahang cuba bangkit dengan mendapatkan dua gol masing-masing menerusi Muhammad Syawal Abdul Razak pada minit ke-42 dan Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim pada minit ke-52, namun keputusan kekal memihak kepada anak buah Mohd Harfizi Baharom sehingga tamat perlawanan

Sementara itu, dalam saingan wanita, Young Tigress turut berjaya mempertahankan kejuaraan itu selepas menewaskan Selangor menerusi penentuan penalti 3-1, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa perlawanan sebenar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan