ISKANDAR PUTERI, 4 Okt (Bernama) -- Pelumba pasukan Unibet Tietema Rockets, Zeb Kyffin, menampilkan kayuhan bertenaga untuk menjuarai peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 membabitkan laluan sejauh 214.9 kilometer (km) dari Melaka ke Medini, hari ini.
Pelumba berusia 27 tahun dari Britain itu menamatkan perlumbaan dalam masa 4 jam 37 minit 39 saat (s), menewaskan wakil negara Muhammad Nur Aiman Rosli dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dengan kelebihan dua saat, manakala pelumba Belanda, Arvid de Kleijn di tempat ketiga dengan catatan 4:37.49s.
Kyffin berkata kemenangan itu amat bermakna kerana ia adalah kejayaan profesional pertama dalam kariernya.
“Perjalanan saya ke peringkat ini agak berbeza. Saya menyertai kancah profesional agak lewat dan bekerja keras untuk sampai ke sini.
“Saya sangat berbangga dengan diri sendiri dan bersyukur kepada semua yang percaya serta sentiasa menyokong saya,” katanya selepas perlumbaan.
Selepas tujuh peringkat,Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan masih kekal menjadi milik pelumba TotalEnergies, Joris Delbove, manakala Jersi Jingga selaku Raja Pecut kekal disandang oleh pelumba Uno-X Mobility, Erlend Blikra.
Jersi Polka Dot (Raja Bukit) juga masih kekal di tangan pelumba Team Picnic Postnl, Patrick Eddy danJersi Putih selaku Terbaik Asia juga masih disandang pelumba XDS Astana Team, Nicolya Vinokurov
Sementara itu, Nur Aiman turut dinobatkan sebagai pelumba terbaik ASEAN bagi peringkat ketujuh.
Perlumbaan berstatus 2.Pro itu akan menutup tirai esok dengan peringkat terakhir sejauh 180.2kmdari Tangkak ke Kuala Lumpur yang menampilkan tiga zon pecutan di Alor Gajah, Seremban dan Semenyih serta a tiga zon pendakian di Setul, Bukit hantu dan Ampang Look Out Point.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial