SUKAN > BERITA

Delbove Juara Keseluruhan LTdL 2025

05/10/2025 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pelumba Perancis, Joris Delbove, dinobatkan sebagai juara keseluruhan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 biarpun sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-17 pada peringkat kelapan dan terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur yang berakhir di Menara Berkembar Petronas  (KLCC) di sini  hari ini.

Pelumba berusia 25 tahun dari pasukan  TotalEnergies itu mendominasi Jersi Hijau, selaku pendahulu keseluruhan,  sejak peringkat kelima hingga kelapan sekali gus menamatkan saingan dengan masa keseluruhan 27 jam 17 minit 38 saat (s).

Delbove menewaskan pencabar terdekat Ander Halland Johannessen  dari Uno-XMobility yang ketinggalan tiga saat, manakala pelumba Tudor Pro Cycling Team, Yannis Voisard di tempat ketiga dengan perbezaan tujuh saat.

“Saya akan menghargai kenangan indah yang dicipta di Malaysia dan di LTdL. Ia benar-benar pengalaman luar biasa — keindahan dan pemandangan negara ini sangat menakjubkan dan pada masa sama perlumbaan begitu sengit.

“Kemenangan ini amat bermakna buat saya dan saya sangat gembira,” kata Delbove selepas tamat perlumbaan.

Terdahulu, pelumba XDS Astana, Aaron Gate menjuarai peringkat terakhir LTdL 2025 selepas menamatkan saingan sejauh 180.2 kilometer dengan catatan masa 3:50:05s, diikuti Aivaras Mikutis (Tudor Pro Cycling Team) dengan masa sama, manakala Nil Gimeno (Equipo Kern Pharma) di tempat ketiga, tujuh saat di belakang.

Jersi Jingga (Raja Pecut) dimenangi pelumba Uno--XMobility , Erlend Blikra yang mengumpul 63 mata, mengatasi Arvid de Kleijn (51 mata) dan Manuel Penalver Aniorte dari Team Polti VisitMalta (43 mata).

Jersi Polka Dot (Raja Bukit) menjadi milik Patrick Eddy dari Team Picnic PostNL selepas mengumpul 15 mata, berkongsi  jumlah sama dengan pelumba Burgos Burpellet BH, Jambaljamts Sainbayar, manakala ketiga milik Gimeno dengan 13 mata.

Dalam pada itu Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia disarung Nicolya Vinoukorov dari XDS Astana dengan catatan 27:17:49s, diikuti pelumba Thanakhan Chaiyasombat (Thailand Continental Cycling) 27:19:21s dan Sainbayar di tempat ketiga (27:19:44s).

Pasukan terbaik keseluruhan milik Team Polti VisitMalta (81:53:46s), diikuti Unibet Tietema Rockets (81:54:39s) dan Burgos Burpellet BH (81:55:28s) di tempat ketiga.

Sementara itu, pasukan terbaik Asia dimenangi Nusantara BYC (82:29:24s) diikuti Aisan Racing Team (82:29:33s) manakala tempat ketiga diraihThailand Continental Cycling Team (82:31:03s).

Pelumba negara Tsen Ren Bao dari pasukan St. George muncul pelumba terbaik Malaysia pada edisi kali ke-29 ini selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-34 keseluruhan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan