SUKAN > BERITA

LTdL 2025: Aksi Berani Ren Bao Bawa Gelaran Pelumba Terbaik ASEAN

30/09/2025 08:27 PM

PASIR PUTEH, 30 Sept (Bernama) -- Ia menjadi aksi penuh keberanian buat pelumba Malaysia, Tsen Ren Bao apabila sanggup mempertaruhkan segala-galanya dalam saingan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Gerik ke Pasir Puteh, hari ini.

Ren Bao yang mewakili pasukan Australia, St George Continental itu menamatkan saingan di tempat ke-28, dalam kelompok sama dengan juara peringkat ketiga, Matteo Malucelli dari XDS Astana Team, sekali gus muncul pelumba terbaik ASEAN pada peringkat ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu mengakui terdetik untuk melakukan serangan awal, namun memilih untuk mengekalkan tenaga bagi memastikan mampu menamatkan saingan dengan baik.

“Saya beritahu rakan sepasukan, kalau tiada dua pelumba pecut terbaik Malaysia dalam kumpulan kami, saya akan “all-in”.

“Saya tidak peduli kalau terjatuh atau apa sekalipun, sebab saya memang mahukannya, sanggup ambil semua risiko dan akhirnya saya berjaya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Anak kepada bekas pelumba lebuh raya negara Tsen Seong Hoong itu mengakui gelaran hari ini menjadi suntikan motivasi besar buat dirinya menjelang baki lima lagi peringkat LTdL.

“Perasaan ini memang luar biasa. Kalau ayah tengok, saya sudah “mendahului” ayah sekarang.

“Ini permulaan yang baik untuk saya dan pastinya memberi lonjakan semangat untuk menghadapi peringkat seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan