SUKAN > BERITA

Piala Asia 2025: Malaysia Kekal Rekod Bersih, Juara Kumpulan B

01/09/2025 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) – Skuad hoki lelaki negara menutup kempen peringkat Kumpulan B Piala Asia 2025 dengan penuh bergaya selepas membelasah Taiwan 15-0 di Rajgir, India, hari ini.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar itu, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menjadi watak utama kemenangan besar apabila meledak lima gol masing-masing pada minit ke-10, 20, 29 (penalti strok), 45 dan 56.

Rakan sepasukan, Mohamad Ashran Hamsani, turut menyerlah dengan empat jaringan pada minit ke-8, 15, 32 dan 54.

Tiga lagi gol hadir menerusi Norsyafiq Sumantri (20’, 40’, 60’), sementara Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (22’), Andywalfian Jeffrynus (24’) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (32’).

Kemenangan itu mengesahkan Malaysia muncul juara Kumpulan B dengan sembilan mata, diikuti Korea Selatan (enam), Bangladesh (tiga) dan Taiwan yang pulang hampa tanpa sebarang mata.

Skuad Speedy Tigers bimbingan Sarjit Singh sebelum ini sudah mengesahkan tiket ke pusingan Super Four selepas menundukkan Korea Selatan 4-1 pada aksi kedua Sabtu lalu, manakala membuka kempen dengan mengatasi Bangladesh 4-1 pada Isnin lalu.

Mengikut format kejohanan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke Super Four dengan hanya dua terbaik daripada pusingan itu akan berentap di pentas final pada Ahad ini.

Juara kejohanan ini akan meraih tiket automatik ke Piala Dunia tahun depan yang dianjurkan di Belanda/Belgium.

“Super Four bakal menjadi cabaran besar jadi pemulihan amat penting. Kita akan menentang Korea Selatan sekali lagi, selain India dan sama ada China atau Jepun. Kita perlukan sekurang-kurangnya enam mata untuk layak ke final,” kata Sarjit menerusi rakaman video kepada media, malam ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan