SUKAN > BERITA

Tang Jie-Ee Wei Capai Kemuncak Prestasi Sempurna Untuk Rangkul Emas Dunia - Kien Keat

01/09/2025 01:05 PM

Oleh Farah Najihah Zuraimi

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Bekas jaguh beregu negara Koo Kien Keat memuji kejayaan bersejarah pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Kejohanan Dunia dengan menyatakan mereka menunjukkan kematangan tinggi serta mencapai kemuncak prestasi pada masa yang tepat.

Beliau menyifatkan Ee Wei sebagai antara pemain wanita terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia dalam acara beregu campuran, dengan ketajaman pintasan di bahagian jaring, selain memuji Tang Jie atas kepantasan dan liputan gelanggang yang luar biasa.

“Saya secara peribadi telah mengucapkan tahniah kepada mereka. Mereka begitu merendah diri dan saya fikir mereka memang layak mendapat kejayaan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan Wong Pei Tty berkata kejayaan pasangan ranking keempat dunia itu harus dilihat sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang bagi arena badminton Malaysia.

Beliau berkata pingat emas di Paris membawa makna besar kerana ia membuktikan kepada generasi baharu bahawa dengan keyakinan dan kerja keras, mereka juga mampu berada di puncak badminton dunia.

“Pertama sekali, tahniah kepada Tang Jie dan Ee Wei kerana bergelar juara dunia. Ia merupakan pencapaian yang membanggakan Malaysia. Mereka mempamerkan semangat juang, keazaman serta perancangan taktikal bijak ketika menentang gandingan China.

“Untuk mencapai kejayaan lebih besar, mereka perlu kekal merendah diri, mengekalkan komunikasi yang baik, serta berdisiplin dalam latihan dan bermotivasi terhadap matlamat mereka,” katanya.

Sebelum kejayaan Tang Jie-Ee Wei, Pei Tty yang pernah bergandingan dengan Kien Keat merupakan pasangan beregu campuran negara paling berjaya di Kejohanan Dunia apabila mara ke separuh akhir edisi 2006 di Madrid.

Semalam, Tang Jie-Ee Wei menghadiahkan Malaysia hadiah Hari Kebangsaan paling bermakna apabila menewaskan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit.

Pasangan negara itu, disemarakkan sorakan “Merdeka!”, tampil penuh inspirasi dengan gabungan kekuatan, ketepatan dan kesabaran untuk menyingkirkan pasangan handal dari China, dengan Ee Wei menguasai permainan di jaring manakala Tang Jie beraksi cemerlang di belakang gelanggang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan