SUKAN > BERITA

Piala Asia 2025: Sarjit Tuntut Kecergasan Speedy Tigers Di Pusingan Super Four

31/08/2025 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan Sarjit Singh berharap barisan pemainnya dapat mengharungi pusingan Super Four Kejohanan Piala Asia 2025 di Bihar, India dalam keadaan bebas kecederaan.

Semalam, skuad Speedy Tigers mengesahkan slot lebih awal ke pusingan itu selepas mencatat kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan B, meskipun masih berbaki satu aksi pelengkap menentang Taiwan yang dijadual berlangsung esok.

"Dalam Super Four ini saingan pasti lebih sengit kerana dalam tempoh lima hari, skuad perlu mengharungi empat perlawanan.

“Harapan saya adalah supaya kita kekal bebas daripada sebarang kecederaan," katanya menerusi video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

 Terdahulu, skuad hoki lelaki kebangsaan memulakan kempen Kumpulan B Piala Asia 2025 dengan bergaya apabila bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah Bangladesh 4-1, sebelum meneruskan rentak cemerlang menundukkan Korea Selatan 4-1 pada aksi kedua di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar.

Mengikut format kejohanan, hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke kelompok Super Four dan dua pasukan teratas peringkat Super Four akan merebut kejuaraan di pentas final pada 7 Sept.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan