PETALING JAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Keputusan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MBTC) untuk menampilkan barisan pemain terkuat, mungkin mengakibatkan beberapa pemain senior tidak tersenarai pada Kejohanan Boling Dunia di Hong Kong pada 23 Nov hingga 6 Dis depan.
Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok berkata badan induk itu membuka ruang penyertaan buat pemain pelapis sedia ada selepas masing-masing menunjukkan persaingan sengit bagi merebut slot pada kejohanan berprestij itu.
"Tahun ini kami punyai skuad yang besar. Kami ada 23 pemain elit dan 20 pemain remaja. Jadi, apa yang bagus tahun ini ialah kita buka peluang untuk semua bermakna pelapis negara pun boleh merebut tempat untuk pasukan Kejohanan Dunia.
"Kami akan menghantar yang terbaik. Kami telah pun mempunyai senarai nama itu, jurulatih telah menghantar cadangan senarai akhir ke exco. Kami sedang menunggu sokongan exco," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-22, bermula hari ini hingga 27 Ogos di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid.
Beliau berkata pihaknya akan mengumumkan senarai 12 nama iaitu enam pemain dan enam pemain wanita bagi menyahut cabaran negara itu dalam tempoh seminggu.
Pada edisi 2023 di Kuwait, Malaysia membawa pulang satu emas dan perak masing-masing menerusi Natasha Mohamed Roslan dan Sin Li Jane yang berentap sesama sendiri dalam final individu wanita.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial