SUKAN > BERITA

MFL Tambah Tiga Kuota Pemain Tempatan Bagi Liga Malaysia 2025-2026

01/08/2025 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan tambahan kuota tiga pemain tempatan, menjadikan keseluruhan 33 pemain boleh didaftarkan oleh semua kelab bertanding dalam Liga Malaysia 2025-2026.

MFL dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas baru-baru ini, selepas mempertimbangkan permohonan tambahan kuota pemain tempatan daripada beberapa kelab khususnya Liga A1 Semi-Pro yang baharu dinaikkan taraf ke Liga Super musim ini.

“Ini kerana kelab berkenaan pada musim pertama diberikan pengecualian daripada memiliki pasukan pembangunan (Piala Presiden, Piala Belia, Bawah 17 Tahun dan Bawah 10 Tahun) selain pemansuhan Piala MFL bagi musim 2025-2026.

“Justeru, tambahan kuota tiga pemain tempatan ini dapat memberikan tambahan pilihan pemain kepada kelab yang tidak memiliki pasukan pembangunan,” menurut kenyataan itu. 

Bagaimanapun, kenyataan sama memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan kelab tidak diwajibkan memenuhi tambahan tiga kuota pemain tempatan tersebut.

Sebaliknya, keputusan berkenaan bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing terutamanya dengan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) musim ini iaitu menguatkuasakan mekanisme gaji siling sebanyak 80 peratus.

Penambahan kuota tiga pemain tempatan ini menjadikan komposisi pemain bagi kelab Liga Malaysia 2025-2026 keseluruhan 33 pemain yang boleh didaftarkan, iaitu 18 pemain tempatan dan 15 pemain asing.

Semua kelab boleh mendaftarkan pemain hingga tarikh tutup jendela pertama perpindahan pemain pada 31 Ogos ini manakala bagi jendela kedua perpindahan pemain akan bermula  5 Jan hingga 1 Feb 2026. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan