SUKAN > BERITA

WUG 2025: Peluang Trio Recurve Wanita Sumbang Pingat Masih Terbuka

24/07/2025 10:51 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

ESSEN (Jerman), 24 Julai (Bernama) -- Skuad memanah recurve berpasukan wanita menghidupkan peluang membutirkan pingat buat kontinjen negara apabila dijadual beraksi dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di sini, esok.

Pada saingan separuh akhir di Sportpark Am Hallo hari ini, skuad negara dibarisi Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Alia Qursyiah Mazlan tidak berjaya menyaingi kehebatan trio Jepun Nanami Asakuno, Waka Sonoda dan Ruka Uehara selepas tewas 2-6.

Malaysia yang julung kali mengesahkan tempat ke separuh akhir dalam acara memanah di WUG, akan bertemu China yang tewas kepada Taiwan 3-5 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Terdahulu, trio negara mencipta kejutan apabila menyingkirkan lawan dari Korea Selatan Lee Gahyun, Nam Suhyeon dan Park Eunseo 5-1 di peringkat suku akhir.

Ketika ditemui di sini, Syaqiera berkata pencapaian ke separuh akhir boleh dibanggakan dan pasukan perlu meningkatkan ketahanan mental menjelang aksi penentuan gangsa.

“Bagi saya prestasi kami boleh dibanggakan kerana kami sudah berikan yang terbaik dan tidak meletakkan sasaran untuk memenangi emas...untuk esok kami perlu perbaiki dari segi mental, dari segi kemahiran tidak ada masalah,” katanya yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagi Ariana pula, meskipun tidak meletakkan harapan yang tinggi, beliau berazam untuk memberikan persembahan terbaik.

“Kalau dapat pingat itu rezeki sebab kami pun ada sasaran lebih besar tahun ini iaitu Sukan SEA 2025, jadi kali ini kami anggap lebih kepada pengalaman dan belajar tapi kami tetap akan berusaha esok,” katanya yang turut membuat penampilan di Paris 2024.

Syaqiera, Ariana dan seorang lagi pemanah Nurul Azreena Mohamad Fazil merupakan trio negara yang menggalas cabaran di Paris 2024, namun menjelang WUG Nurul Azreena mengalami kecederaan dan digantikan dengan Alia Qursyiah.

“Ini merupakan kejohanan di luar negara pertama saya dan saya berpuas hati dengan prestasi saya,” kata Alia Qursyiah.

Aksi penentuan gangsa esok dijadual berlangsung di bekas kompleks lombong arang batu, Zeche Zollverein yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), di sini.

Sementara itu, cabaran negara dalam acara recurve berpasukan lelaki dan campuran serta compound berpasukan lelaki dan wanita masing-masing berakhir di pusingan penyingkiran 1/8.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan