SUKAN > BERITA

WUG 2025: Cuaca Sejuk, Angin Kuat Uji Skuad Memanah Pada Hari Pertama Saingan

22/07/2025 08:50 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

ESSEN (Jerman), 22 Julai (Bernama) -- Cabaran skuad memanah negara di temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 bermula dalam keadaan mencabar apabila para atlet berdepan cuaca sejuk dan tiupan angin kencang pada hari pertama acara yang berlangsung di Sportpark Am Hallo di sini, hari ini.

Suhu mencecah 17 darjah Celsius disertai tiupan angin kuat nyata menguji ketahanan mental serta teknik barisan pemanah terbaik universiti dunia yang beraksi dalam pusingan penentuan ranking individu.

Dalam acara compound wanita, Natasha Mohd Shahruddin muncul pemanah terbaik negara apabila menamatkan saingan di tempat ke-28 daripada 51 peserta dengan kutipan 668 mata, dikuti Nurul Syaza Husna Mahari dan Nur Nisa Aliya Muhamad Radzif masing-masing menduduki tempat ke-34 (653 mata) dan ke-41 (644 mata).

Sementara itu, pasukan compound wanita negara yang dibarisi ketiga-tiga atlet tersebut mengumpul 1,965 mata, sekali gus meletakkan mereka di tangga kesembilan daripada 12 pasukan yang bertanding.

“Saya berasa lega kerana sudah melepasi pusingan kelayakan meskipun berdepan cabaran cuaca yang amat sejuk dan berangin tapi dapat kawal untuk membidik dengan lebih baik. . Saya yakin saya dan rakan sepasukan mampu menunjukkan aksi lebih baik selepas ini,” kata Natasha ketika ditemui di sini.

Bagi acara recurve lelaki, Muhammad Akid Bazli Ezaidin menamatkan pusingan ranking individu di kedudukan ke-38 daripada 86 peserta selepas mencatatkan 631 mata.

Rakan sepasukan Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi dan Muhammad Haziq Khalil pula masing-masing mengumpul 621 mata dan 614 mata untuk menduduki tempat ke-49 dan ke-56.

Jumlah kutipan mata itu menyaksikan pasukan recurve lelaki negara menduduki tempat ke-15 daripada 17 negara bertanding.

Sementara itu, dalam acara renang yang berlangsung di Schwimm- und Sprunghalle im Europasportpark, Berlin, skuad negara berjaya melangkah ke final acara 4x200 meter (m) gaya bebas lelaki yang dijadual berlangsung malam ini (awal pagi Rabu waktu Malaysia).

Kuartet yang dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin mencatat masa 7 minit 19.81 saat (s), sekali gus menamatkan saringan pertama di tempat ketiga di belakang Atlet Neutral Individu (7:16.71s) dan Brazil (7:16.90s).

Namun, Hoe Yean gagal mara ke separuh akhir acara 200m kuak lentang lelaki selepas menamatkan saringan ketiga di tempat terakhir dengan dengan masa 2:03.20s.

Dalam acara 50m gaya bebas lelaki, Bryan Leong Xin Ren menamatkan saringan ketujuh di tempat keempat dengan masa 23.19s sekali gus gagal ke pusingan seterusnya manakala Yin Chuen turut terkandas selepas menduduki tempat ketujuh dalam saringan keenam dengan catatan 23.53s.

Dalam pada itu, hasrat jaguh taekwondo Muhammad Syafiq Zuber untuk menghadiahkan pingat buat kem negara tidak kesampaian selepas terkandas di peringkat suku akhir acara kyorugi -87 kilogram (kg) di Messe Essen.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 itu tewas 0-2 kepada lawannya dari Amerika Syarikat, Michael Christopher Rodriguez setelah sebelum itu cemerlang menewaskan Mohammed Alsowaiq dari Arab Saudi dan Erol Nuci dari Bosnia & Herzegovina dalam dua pusingan awal.

Setakat ini, kontinjen negara yang meletakkan sasaran tujuh pingat keseluruhan, berjaya meraih satu pingat perak menerusi Hoe Yean dalam acara 400m gaya bebas lelaki.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan