Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PPZ-MAIWP, Gloria Jean's Coffees Angkat Gaya Hidup Kontemporari, Galakkan Pembayaran Zakat

23/07/2025 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berkolaborasi dengan jenama kopi antarabangsa Gloria Jean's Coffees bagi memberi sentuhan segar dalam kempen Jom Potong 2025.

Membawa  mesej ‘Kopi menjadikan hari anda lebih baik, tetapi zakat menjadikan hidup anda lebih baik’ dirangka bagi mengangkat gaya hidup kontemporari, sekali gus menggalakkan umat Islam menunaikan zakat secara konsisten melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB).

Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Sri Amrin Awaluddin berkata pemilihan Gloria Jean's Coffee sebagai rakan kolaborasi bukan sekadar jenamanya tetapi nilai yang dibawa seperti keselesaan, komuniti dan gaya hidup berkualiti yang selari dengan pendekatan strategik PPZ-MAIWP dalam menyampaikan dakwah zakat secara inklusif.

“Apa yang lebih membanggakan, Gloria Jean's Coffee juga adalah satu daripada pembayar zakat PPZ-MAIWP di bawah Perbadanan Nasional Berhad (Pernas). Justeru, kerjasama ini bukan sekadar simbolik tetapi juga signifikan dari segi tanggungjawab institusi,” katanya ketika berucap melancarkan kempen berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Perkhidmatan Francais Pernas Azizam Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Gloria Jean's Coffees Zafrul Azman Mohamed Azraai.

Sementara itu, Azizam yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Pernas Datuk Nor Azam M. Taib berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memupuk kesedaran zakat secara praktikal dan menyeluruh.

“Sebagai agensi yang menerajui pembangunan industri francais negara, kami percaya keberkatan perniagaan hadir apabila rezeki dikongsi dan disalurkan semula kepada masyarakat.

“Gloria Jean's Coffees, sebagai jenama milik penuh Pernas membawa nilai mesra Muslim dan kualiti halal yang menjadikan rakan strategik tepat dalam menyampaikan mesej kempen iaitu menghubungkan gaya hidup moden dengan amalan kerohanian seperti pembayaran zakat secara konsisten,” katanya.

Sementara itu, PPZ-MAIWP dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM140 juta sempena kempen Jom Potong 2025 dengan Gloria Jean’s Coffees berbanding perolehan RM130.35 juta pada tahun lepas.

“Pelbagai hadiah menarik antaranya pakej percutian enam negara, pakej umrah serta produk barangan asnaf turut ditawarkan dan sebagai galakan tambahan, 5,000 pembayar terawal yang memulakan atau menambah potongan zakat bulanan akan menerima baucar Gloria Jean's Coffees bernilai RM5 dengan setiap pembelian minimum RM15 tertakluk terma dan syarat,” menurut kenyataan itu.

Melalui kerjasama itu juga, orang ramai boleh melayari ptg.zakat.com.my sebelum mendaftar untuk Skim PZB di kod QR yang dipaparkan pada bunting promosi atau pembalut cawan yang diletakkan di kedai-kedai Gloria Jean's Coffees sekitar Wilayah Persekutuan.

Selain itu, bagi memudahkan lagi urusan pendaftaran dan mendapatkan maklumat lanjut, kaunter informasi khas akan dibuka di beberapa cawangan strategik syarikat itu sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Setiap pembayar juga akan dilindungi dengan Skim Kafalah Muzakki atau dikenali sebagai khairat kematian, waris layak menerima sumbangan wang sehingga RM3,000 sekiranya berlaku kematian ke atas pembayar zakat,” menurut  PPZ-MAIWP.

Penyertaan kempen boleh dilakukan melalui pendaftaran PZB secara atas talian atau mengisi borang Skim PZB secara manual di kaunter PPZ-MAIWP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebarang maklumat boleh dilayari melalui www.zakat.com.my atau ikuti media sosial Pusat Pungutan Zakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan