Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
ESSEN (Jerman), 18 Julai (Bernama) -- Pencapaian membanggakan jaguh renang negara Khiew Hoe Yean diharap mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan kontinjen Malaysia sepanjang temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di sini.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke WUG 2025, Datuk Prof Madya Dr Mohd Hafiz Yusoff berkata kejayaan Hoe Yean meraih pingat perak acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki semalam bukan sahaja menamatkan penantian 34 tahun, malah turut diserikan dengan catatan rekod baharu kebangsaan.
Dengan pencapaian Hoe Yean itu, Mohd Hafiz menyifatkan kontinjen negara berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran tujuh pingat tanpa sebarang warna yang ditetapkan.
“Kita menjangkakan bahawa pencapaian melalui Hoe Yean ini akan memberikan terus momentum untuk pencapaian pingat dalam acara-acara seterusnya.
“Saya merasakan sekarang kontinjen Malaysia berada di landasan terbaik untuk mencapai pingat yang disasarkan. Kita doakan semua atlet dapat beri persembahan terbaik demi mencapai objektif melakukan rekod peribadi terbaik dan yang keduanya menaiki podium,” katanya kepada pemberita di sini.
Semalam (awal pagi waktu Malaysia), Hoe Yean melakar sejarah tersendiri apabila merangkul perak dalam final penuh mendebarkan di Schwimm-und Sprunghalle im Europasportpark, Berlin sekali gus menghadiahkan pingat sulung kontinjen negara pada edisi kali ini.
Pada perlumbaan itu, Hoe Yean turut memadam rekod kebangsaan miliknya iaitu 3 minit 48.36 saat (s) selepas melakukan 3:47.38s.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau pingat Malaysia selama 34 tahun dalam acara renang di WUG yang kali terakhir disumbangkan Jeffrey Ong menerusi pingat perak 1,500m gaya bebas lelaki edisi 1991 di Sheffield.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz turut meluangkan masa bersama skuad renang di Berlin dan menyampaikan sagu hati kepada Hoe Yean sebagai penghargaan atas kejayaannya.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Hoe Yean dan pasukan renang yang telah menunjukkan prestasi terbaik dan mencapai satu kejayaan yang gemilang untuk negara,” katanya.
WUG 2025 yang berlangsung dari 16 hingga 27 Julai menyaksikan 234 pingat emas dipertandingkan merangkumi 19 jenis sukan.
Malaysia, yang menyasarkan tujuh pingat tanpa mengira warna, bertanding dalam enam jenis sukan iaitu gimnastik, badminton, memanah, olahraga, renang dan taekwondo dengan keseluruhan 64 atlet mengambil bahagian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial