KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Bulatan servis perlu digunakan hanya sebagai penanda di mana tekong mesti meletakkan kakinya semasa melakukan servis, kata Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kader.
Beliau berkata itu antara cadangan baharu peraturan bulatan servis untuk membenarkan tekong mengangkat kaki yang tidak menyepak atau tidak digunakan ketika melakukan servis kerana tiada kesalahan dalam hal berkenaan.
“Tekong juga boleh menggunakan kaki yang tidak menyepak, bersama-sama kaki yang menyepak ketika melakukan servis, tiada kesalahan dalam hal ini,” katanya menerusi kenyataan.
Abdul Halim dalam kenyataan sama turut menyebut ISTAF perlu memberi tumpuan kepada bagaimana pemain membuat persediaan sebelum dan semasa melakukan servis, tiada kesalahan dalam apa jua bentuk yang boleh dipanggil sebagai pelanggaran.
Beliau berkata tekong boleh melakukan servis dengan bebas dalam apa jua cara yang mereka mahu kerana tiada lagi kesalahan sepanjang perlawanan.
Kenyataan itu turut menyebut sejak 30 tahun penubuhan ISTAF, masalah bulatan servis dan tekong sentiasa dibangkitkan dalam kebanyakan kejohanan, malah pengurus pasukan dan jurulatih sentiasa menyalahkan pengadil tentang masalah ini yang akhirnya, pemain menjadi mangsa.
”Ia mesti dihentikan demi masa depan sepak takraw, bebas daripada sebarang kontroversi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial