KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersetuju menukar nama badan induk itu kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia dalam tempoh terdekat.
Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) semalam selepas usul pindaan perlembagaan yang dibentangkan mendapat sokongan lebih dua pertiga perwakilan.
Bagaimanapun, beliau berkata penukaran nama badan induk itu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya pindaan perlembagaan mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS).
“Semua pindaan perlembagaan akan berkuat kuasa setelah mendapat kelulusan daripada PJS. Jadi, kita akan hantar permohonanan itu dalam masa terdekat.
“Selagi tidak dapat kelulusan PJS, kita tidak boleh guna lagi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Mengulas berkenaan penukaran nama PSM, Sumali berkata ia bertujuan menyeragamkan dengan nama badan induk sukan lain yang turut menggunakan perkataan Persekutuan.
“Sebenarnya ini bukan benda baharu, kita dah bincang sebelum ini dan ramai sudah setuju sebab ia lebih mencerminkan peranan kita sebagai pentadbir utama sepak takraw negara,” katanya.
Terdahulu, dalam AGM hari ini menyaksikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dipilih sebagai Timbalan Presiden PSM bagi penggal 2025-2028 selepas mendapat 49 undi menewaskan dua pencabar lain.
Tiga kekosongan jawatan Naib Presiden pula diisi oleh Datuk Abu Jimi Samat dengan 51 undi, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (48 undi) dan Wan Mohd Husni Abdullah (44 undi).
Sebelum ini, Sumali berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden PSM selepas tidak dicabar oleh mana-mana individu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial