GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Negara anggota ASEAN perlu membangunkan rangka kerja yang aktif menggalakkan keterangkuman gender dalam bidang sukan dan mewujudkan ekosistem yang membolehkan setiap individu berkembang sama rata.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata kesaksamaan gender dalam sukan merupakan tanggungjawab bersama masyarakat dan satu kewajipan moral.
“Kita perlu mengukuhkan kerjasama dengan organisasi serantau dan antarabangsa untuk menghasilkan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran kesaksamaan gender dalam sukan.
“Kami menyeru negara anggota ASEAN untuk terus memperkasakan wanita, khususnya dalam kepimpinan dan kejurulatihan sukan sejajar dengan Pelan Kerja ASEAN mengenai Sukan 2021-2015 dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030,” katanya berucap pada majlis penutup Persidangan ASEAN mengenai Kesaksamaan Gender dalam Sukan 2025 di sini hari ini.
Persidangan empat hari bermula Isnin lepas itu berakhir dengan seruan tegas untuk mengubah landskap sukan di rantau ini dengan menitikberatkan prinsip kesaksamaan, keterangkuman dan kecemerlangan.
Adam Adli berkata usaha mendukung wanita dalam menjadi pemimpin dan pembuat dasar dalam bidang sukan amat penting, bukan sekadar memenuhi keperluan formal atau kuota.
Beliau berkata penyertaan lebih ramai golongan wanita dalam kepimpinan dan pembuat dasar dalam bidang sukan akan memperkukuh institusi, daya tahan, inovasi serta keretangkuman.
“Kepada keluarga ASEAN kita, penglibatan aktif anda menunjukkan tekad bersama kita.
“Hal ini jelas menunjukkan kita menolak untuk menerima keadaan sedia ada dan kekal komited untuk mempertingkat kesaksamaan gender serta penyertaan dalam sukan di seluruh rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial