SUKAN > BERITA

Piala ASEAN B-23: Harimau Muda Sasar Pusingan Separuh Akhir

25/06/2025 02:58 PM

PETALING JAYA, 25 Jun (Bernama) -- Skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan meletakkan sasaran mara ke pusingan separuh akhir pada Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 di Jakarta, Indonesia dari 15 hingga 29 Julai depan.

Ketua jurulatih Mohd Nafuzi Zain berkata bagi merealisasikan hasrat itu, skuad Harimau Muda dituntut untuk meraih tiga mata penuh dalam setiap perlawanan peringkat Kumpulan A bertemu Filipina pada 15 Julai, diikuti Brunei (18 Julai) dan Indonesia (21 Julai).

“Untuk situasi sekarang, kita lebih memfokuskan kepada satu perlawanan demi satu perlawanan, terutamanya daripada perlawanan yang penting apabila bertemu dengan Filipina. Selepas itu dengan Brunei dan cabaran yang agak berat apabila berdepan tuan rumah Indonesia.

“Jadi kita meletakkan layak ke separuh akhir itu dan kena melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu. Di separuh akhir itulah memberi ruang dan peluang kita untuk ke final,” katanya pada sidang media pengumuman senarai 30 pemain yang akan menyertai latihan pusat skuad Harimau Muda di sini hari ini.

Terdahulu, dalam sidang media itu, sebanyak 19 daripada 26 pemain yang dihimpunkan selepas perlawanan ‘Elit’ semalam telah dipanggil menyertai kem yang akan bermula pada 1 Julai depan.

Pemain itu menyertai 11 pemain sedia ada skuad B-23 kebangsaan, antaranya Zulhilmi Sharani dan Muhammad Faris Danish Mohd Asrul dari Johor Darul Ta'zim II (JDT II) serta Abdul Rahman Daud dan Muhammad Alif Izwan Yuslan dari Selangor FC.

Dalam pada itu, Mohd Nafuzi berharap pengalaman pemain yang dipanggil, kebanyakannya pernah bermain dalam Liga Super dapat membantu skuad itu merealisasikan hasrat berkenaan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang dijadualkan pada 25 Julai, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan final pada 29 Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan