SUKAN > BERITA

Mohd Sumali Kekal Terajui PSM Penggal 2025-2028

23/06/2025 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Datuk Mohd Sumali Reduan mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi penggal 2025–2028 selepas menang tanpa bertanding menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu yang dijadual berlangsung pada 29 Jun ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bebas Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PSM Prof. Dr. Mohad Anizu Mohd Nor menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Mohd Sumali merupakan calon tunggal bagi jawatan berkenaan selepas menerima 21 pencalonan daripada ahli gabungan PSM menjelang tarikh tutup pencalonan semalam.

"Bagi jawatan Timbalan Presiden, seramai enam calon disahkan bertanding, manakala lapan individu bakal merebut tiga kerusi Naib Presiden," katanya.

Beliau berkata proses pemilihan akan menyaksikan satu calon dipilih bagi jawatan Presiden, dua bagi Timbalan Presiden dan tiga bagi Naib Presiden, berdasarkan jumlah undi tertinggi.

“Borang penerimaan pencalonan akan diedarkan kepada semua calon dan perlu dikembalikan kepada Jawatankuasa Pemilihan selewat-lewatnya Rabu ini,” katanya.

Antara calon bagi jawatan Timbalan Presiden ialah penyandangnya Datuk Abdul Halim Suleiman yang menerima 16 pencalonan; Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (15) dan Datuk Akramuddin Abd Aziz (tiga).

Turut bersaing ialah Datuk Abu Jimi Samat dan Syed Azmir Syed Ahmad yang masing-masing menerima dua pencalonan, serta Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan satu pencalonan.

Menariknya, empat daripada enam calon Timbalan Presiden turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden, iaitu Tengku Zaihan, Abu Jimi, Abdul Halim dan Abdul Puhat.

Empat lagi calon bagi jawatan Naib Presiden ialah Mohd Husni Abdullah, Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman, Abdul Rashid Adlie dan Datuk Dr. Najmil Faiz Mohd Aris.

Pada pemilihan penggal 2022/2025 lepas, Mohd Sumail mengisi jawatan Presiden PSM bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Ismail yang meletak jawatan pada Jun 2021.

Ini selepas badan induk itu mengumumkan tiada pertandingan bagi semua jawatan dalam jawatankuasa tertinggi pada pemilihan sempena AGM pada Februari 2022.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan