MELAKA, 17 Jun (Bernama) -- Bekas atlet bina badan negara Samsul Mat Juah, 59, menyifatkan atlet negara ketika ini sebagai beruntung kerana dipantau dan dibantu Institut Sukan Negara (ISN) khususnya membabitkan aspek sokongan teknikal dan profesional.
Samsul yang mula berkecimpung dalam sukan bina badan pada 1995 berkata ketika masih aktif beliau hanya memberikan tumpuan penuh pada latihan tanpa sokongan teknikal atau profesional.
"Di Malaysia ketika itu jurulatih banyak tetapi konsultan khususnya dalam sukan bina badan tiada, konsultan ini berperanan membantu kita mengurangkan kecederaan ketika berlatih, sama seperti fungsi ISN.
"Berlatih terlalu banyak tanpa perancangan taktikal yang betul juga bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan malah menyebabkan pencapaian kita turut merosot," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Program 'Visit & Treat' Skuad YAKEB Prihatin di Ujong Pasir di sini hari ini.
Program yang berlangsung di rumah bekas legenda bola sepak negara mendiang Robert Choe Kim Chwee itu dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Samsul berkata sepanjang pembabitan dalam sukan bina badan, beliau meraih banyak pencapaian terbaik dalam hidupnya sekitar 1980-an termasuk mewakili negara di Asian Championship Manila 2000 dan Sukan Bina Badan Komanwel New Delhi 2002 bagi kategori 80 hingga 85 kilogram (kg).
Bagaimanapun katanya disebabkan kecederaan serius pada tulang belakang yang mengambil masa lama untuk pulih, anak kelahiran Melaka itu terpaksa bersara pada 2011 serta melupakan hasratnya untuk melakar lebih banyak kejayaan dalam sukan itu.
Dalam pada itu, Samsul yang kini menetap di Bukit Baru di sini berkata beliau bersyukur kerana walaupun telah lama meninggalkan sukan bina badan namun dirinya masih mendapat perhatian termasuk pelbagai bantuan dan sokongan daripada YAKEB.
"Alhamdulillah, YAKEB telah banyak membantu saya...sebelum ini kos pembedahan buang batu karang hampir RM40,000 dibiayai YAKEB selain turut mendapat bantuan kewangan bulanan sebanyak RM300," katanya yang turut menghidap kencing manis sehingga terpaksa menjalani rawatan dialisis.
Sementara itu, anak sulung Robert, Fahrian, turut menzahirkan penghargaan atas ingatan YAKEB terhadap sumbangan bapanya yang merupakan penyerang utama skuad negara pada sekitar 1950 hingga 1960-an.
"Saya mewakili keluarga amat berterima kasih kepada YAKEB kerana masih mengambil berat walaupun ayah sudah lama tidak bersama pasukan kebangsaan dan telah meninggal dunia awal tahun ini sekali gus menunjukkan keprihatinan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terutamanya dalam menyantuni atlet yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sukan negara," katanya.
Pada program itu, Adam Adli menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada isteri mendiang Robert, Alice Cho Yoon Chhing selain turut menyampaikan bantuan kepada Samsul dan bekas atlet silat negara Wardi Salim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial