Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Peningkatan Penyalahgunaan Dadah, Vape Libat Belia Perlu Tindakan Segera - Lee

19/06/2025 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing dan penggunaan rokok elektronik atau vape berleluasa dalam kalangan belia Malaysia bukan lagi isu sampingan, tetapi telah memuncak menjadi krisis nasional, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye. 

Beliau memberi amaran bahawa bahaya dadah dan vape terutamanya dicampur nikotin, tidak boleh dipandang ringan kerana menjadi permulaan kepada ketagihan, kemerosotan kesihatan mental, keciciran sekolah, kelakuan jenayah dan dalam sesetengah kes, menyebabkan masalah kesihatan tidak boleh dipulihkan atau kematian. 

“Apabila golongan muda yang merupakan masa depan negara menjadi mangsa kepada ancaman ini, struktur masyarakat kita berdepan risiko,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kebimbangan terhadap trend peningkatan penyalahgunaan dadah dan vape dalam kalangan belia khususnya anak muda Melayu, dan menggesa penyelesaian menyeluruh melibatkan pelbagai pendekatan termasuk kaunseling dan dakwah. 

Lee berkata waktu untuk melaksanakan kempen kesedaran semata-mata telah berlalu dan terdapat keperluan untuk tindakan tegas, ketara serta berorientasikan hasil, termasuk penguatkuasaan lebih tegas terhadap penjual dan pengedar produk vape, khususnya yang menyasarkan remaja dan kanak-kanak. 

Tindakan itu, menurut beliau juga perlu melibatkan serbuan berkala dan pemantauan terhadap premis jualan dan platform dalam talian. 

“Pensijilan dan peraturan mandatori terhadap semua peranti dan cecair vape termasuk label jelas dan amaran kesihatan mesti dilaksanakan. Selain itu, semua produk tidak sah dan tidak mematuhi peraturan mesti diharamkan dan dirampas,” katanya. 

Lee turut menggesa undang-undang dan hukuman lebih tegas kepada mereka menghasilkan, mengimport atau menjual cecair vape mengandungi bahan terlarang atau memasarkan produk itu kepada belia. 

Penguatkuasaan juga mesti dilengkapkan dengan intervensi awal serta program pemulihan kepada pelajar dan belia memiliki dadah atau produk vape haram. 

Lee berkata pendekatan menyeluruh termasuk sekolah, ibu bapa, institusi agama, masyarakat sivil dan media perlu untuk mewujudkan budaya menolak dadah serta vape secara aktif. 

“Kegagalan bertindak sekarang akan menyebabkan kesan jangka panjang serius dan negara akan terus berdepan peningkatan jumlah remaja terjebak ketagihan,” katanya. 

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Luar Bandar dan Ekologi Malaysia (RURAL Malaysia) M.S Anuar Mahmod menyeru kerajaan membentangkan semula Generasi Penamat Rokok (GEG) dalam bentuk pindaan Rang Undang-Undang (RUU) sah dan kukuh secara Perlembagaan bagi melindungi generasi akan datang. 

Beliau berkata kerajaan mesti tidak tunduk kepada tekanan daripada pelobi industri vape dan tembakau serta melindungi anak muda luar bandar, yang paling terdedah dan paling kurang akses kepada maklumat serta perlindungan dalam krisis itu. 

“Ini bukan sekadar menggubal undang-undang, tetapi mencipta sejarah tentang menyelamatkan satu generasi daripada ketagihan sepanjang hayat yang bermula dengan satu hembusan (asap rokok atau vape). RURAL Malaysia berdiri teguh dan kita mesti menang (melawan penyalahgunaan dadah dan vape),” katanya.  

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan