SUKAN > BERITA

KRM Benar Tambah Tujuh Pemain Import Pada Kejohanan Piala Agong

14/06/2025 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) membuat keputusan untuk menambah bilangan pemain import yang dibenarkan bertanding pada Kejohanan Piala Agong 2025. 

Setiausaha Agung KRM Fahmy Abd Jalil berkata keputusan itu dipersetujui pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kesatuan badan induk berkenaan, susulan terdapat beberapa ahli gabungan yang membuat permintaan untuk menambah kuota pemain import pada kejohanan itu. 

“Kita sudah buat ketetapan untuk membenarkan pasukan yang menyertai Kejohanan Piala Agong 2025 menambah jumlah pemain import. Sebelum ini hanya empat orang pemain, tetapi pada edisi kali ini kita menambah kepada tujuh orang pemain. 

“Ia selepas terdapat beberapa ahli gabungan yang mencadangkan untuk menambah pemain import, supaya kejohanan kali ini menjadi mencabar dan lebih banyak pilihan pemain dalam pasukan,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Fahmy berkata KRM sudah menghantar surat jemputan kepada negeri-negeri bagi menyertai kejohanan berkenaan dan ia dijangka membuka tirainya pada pertengahan Ogos. 

Dalam pada itu, Fahmy berkata AGM hari ini turut membincangkan untuk kembali menganjurkan Liga Ragbi Malaysia (MRL) pada tahun 2026.

“Semua ahli gabungan sebulat suara bersetuju untuk kita adakan semula MRL 2026 tetapi ia bergantung kepada peruntukan kewangan dan bajet,” katanya. 

MRL diperkenalkan pada 2004 dan menghimpunkan kelab-kelab terkemuka negara seperti Cobra, Keris Conlay, NS Wanderers, Eagles, Serdang Angels, Asas RFC dan Bandaraya Dragons.

Kali terakhir ia dianjurkan adalah pada 2019.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan