SUKAN > BERITA

Malaysia Sasar Kerusi IPC - Megat D Shahriman

05/06/2025 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) --Malaysia menyasarkan penyertaan dalam Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang bakal bersidang di Seoul, Korea Selatan, September ini bagi memperkukuh peranan dalam pembangunan sukan para di peringkat global.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata usaha itu penting bagi memastikan Malaysia turut terlibat secara langsung dalam pembentukan dasar dan hala tuju pergerakan Paralimpik antarabangsa.

“Mungkin, insya-Allah saya sendiri akan bertanding untuk mengisi kekosongan jawatan dalam IPC. Buat masa ini, kita hanya memegang portfolio di peringkat Asia. Di IPC, kita belum ada wakil, tapi usaha sedang giat dijalankan.

“Dengan bantuan rakan strategik termasuk Korea Selatan, kita berharap dapat menembusi IPC dan membuka ruang penyertaan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Korea Selatan, Jung Jinowan di MPM, Kampung Pandan di sini, hari ini.

Mengulas pertemuan itu, Megat D Shahriman berkata ia bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala serta membuka jalan kepada pelaksanaan program pembangunan bersama antara kedua-dua negara.

Program berkenaan bakal menyaksikan pertukaran atlet antara Malaysia dan Korea Selatan bagi tujuan latihan serta pendedahan bertaraf antarabangsa.

Katanya banyak perkara yang boleh dipelajari daripada pengurusan sukan paralimpik Korea Selatan, termasuk kemudahan, kepakaran kejurulatihan serta pengalaman bertaraf dunia.

“NPC Korea mendapat peruntukan hampir USD80 (kira-kira RM338)  juta setahun daripada kerajaan mereka. Kita mungkin tidak mampu bersaing dari segi kewangan, tapi kita boleh bersaing menerusi kekuatan sukan kita sendiri.

“Namun, kita tetap perlu belajar daripada mereka yang mempunyai fasiliti dan jurulatih bertaraf antarabangsa serta bertauliah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan atlet para negara perlu diberikan perhatian setimpal susulan pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pengarah baharu sukan para di Majlis Sukan Negara (MSN), dan saya yakin hala tuju yang dibawa kini selari dengan aspirasi MPM,” katanya.

— BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan