SUKAN > BERITA

Malaysia Mampu Raih Pingat Di ATF 2025 - Shahidan

23/05/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Malaysia optimis tidak akan pulang dengan tangan kosong apabila turun beraksi pada Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2025 yang akan berlangsung di Gumi, Korea Selatan, dari 27 hingga 31 Mei ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (MA) Datuk Seri Shahidan Kassim berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa atlet yang menyertai kejohanan berkenaan, termasuk beberapa nama yang pernah mencipta kejayaan di peringkat Asia.

Menurut beliau, kontinjen negara kali ini turut dibarisi atlet yang pernah menaiki podium pada edisi lalu, antaranya jaguh lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin.

“Saya percaya kita tidak akan pulang dengan tangan kosong. Jika dilihat pencapaian sebelum ini, beberapa atlet kita telah meraih pingat, termasuk Irfan yang pernah menyumbang pingat gangsa.

“Justeru, kita berharap semua atlet akan memberikan aksi terbaik demi mengharumkan nama negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan kebangsaan di sini, hari ini.

Seramai 29 atlet negara, terdiri daripada 18 lelaki dan 11 wanita, akan menyertai kejohanan berprestij itu yang menghimpunkan jaguh olahraga dari seluruh benua Asia.

Untuk rekod, pada edisi terdahulu, satu-satunya pingat negara diraih menerusi Muhammad Irfan dalam acara lempar cakera selepas melakukan lontaran sejauh 59.63 meter.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan