SUKAN > BERITA

Rajagobal Bangga Peningkatan Harimau Malaya

31/05/2025 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal menyifatkan aksi seri 1-1 menentang Cape Verde membuktikan Harimau Malaya sedang menunjukkan peningkatan, namun menegaskan pasukan negara masih perlu bekerja lebih keras untuk mencapai tahap lebih baik.

Menurut Rajagobal, meskipun masih terlalu awal untuk membuat penilaian menyeluruh, beliau yakin ketua jurulatih baharu Peter Cklamovski mempunyai perancangan tersendiri dalam memperkasakan skuad negara menjelang saingan penting akan datang.

“Setiap jurulatih ada perancangannya. Dalam perlawanan kedua menentang Cape Verde, kita dapat lihat peningkatan dari segi persembahan. Namun, pemain masih perlu bekerja keras. Cklamovski tahu siapa yang perlu diturunkan apabila bertemu Vietnam nanti,” katanya.

“Sebagai jurulatih, saya hanya boleh buat penilaian selepas sekurang-kurangnya 10 perlawanan. Ketika itu barulah boleh lihat sama ada ada peningkatan atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku biografi bertajuk Inilah Saya K. Rajagobal sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di sini hari ini.

Pada perlawanan persahabatan antarabangsa Khamis lalu, skuad Harimau Malaya mempamerkan corak permainan lebih tersusun apabila bangkit mengikat Cape Verde 1-1 menerusi jaringan Paulo Josue.

Cape Verde kini menghuni ranking ke-72 dunia, manakala Malaysia di kedudukan ke-131.

Skuad negara akan sekali lagi menentang pasukan dari benua Afrika itu dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini sebagai persediaan menghadapi Vietnam pada aksi Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027, 10 Jun ini.

Terdahulu, Rajagobal yang pernah mencipta sejarah membawa Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 dan memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, melancarkan buku pertamanya yang mengisahkan perjalanan hidup dan kerjaya beliau dalam dunia kejurulatihan.

“Ilham buku ini datang daripada anak saya. Ramai legenda sukan tidak menulis kisah perjuangan mereka. Buku ini bukan hanya kisah saya, tetapi juga untuk generasi muda supaya mereka tahu cabaran dan pengorbanan yang dilalui dalam dunia bola sepak.

“Saya mahu ia menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak muda serta rujukan kepada pencinta sukan tanah air,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan