SUKAN > BERITA

BAM: Tengku Zafrul Disaran Kaji Keseluruhan Ekosistem, Pastikan Kebajikan Pemain

26/05/2025 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diharap dapat melihat semula ekosistem badan induk itu dalam memastikan kebajikan kesemua pemain, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata atlet berpotensi disarankan untuk terus berada di bawah BAM berbanding bergerak secara profesional agar mereka mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan menerusi badan induk itu sama ada dari segi latihan dan juga kebajikan. 

"Kelebihan berada di bawah BAM ialah mempunyai rakan sepelatih yang bagus (berbanding), menjadi pemain profesional, mereka akan kekurangan rakan sepelatih dan ini boleh menjejaskan prestasi.

“Sebab itu saya minta Tengku Zafrul untuk melihat ekosistem ini dan memastikan yang terbaik, kalau boleh para pemain bersama BAM supaya bantuan kerajaan sampai kepada mereka dan ada sistem yang tersusun," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran video kesedaran Kempen Belia Bebas Dadah bersama pihak pawagam dan atlet-atlet Malaysia yang turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh di sini hari ini. 

Sementara itu, Hannah turut berpuas hati dengan peningkatan prestasi skuad badminton negara pada Masters Malaysia 2025 semalam. 

"Saya percaya dengan adanya jurulatih dan bantuan Road To Gold (RTG), kita boleh terus memperkasakan pencapaian mereka," katanya. 

Terdahulu, pada majlis berkenaan Hannah mengumumkan kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan TGV Cinemas bagi memperkasakan lagi Kempen Belia Bebas Dadah. 

Hannah berkata kerjasama strategik ini dilaksanakan dengan penayangan video kesedaran mengenai bahaya dadah dan bahan terlarang sebelum tayangan filem di TGV Cinemas seluruh negara. 

"Hari ini kita telah melancarkan video kesedaran kerjasama dengan TGV Cinemas yang mempunyai 40 lokasi di seluruh Malaysia kecuali Sabah dan TGV Cinemas pernah membantu kerajaan dalam kempen video promosi untuk menangani kes pembuangan bayi.

“Kempen itu cukup berkesan kerana telah menggalakkan belia terlibat untuk mendapatkan bantuan kerajaan. Jadi kali ini kita bergabung dengan AADK untuk membawa siri promosi video ini ke pawagam kerana ramai yang hadir adalah golongan belia," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan