KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Impian beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah untuk melangkah ke final Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 tidak kesampaian selepas tumbang kepada gandingan China Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian pada aksi separuh akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Walaupun beraksi di hadapan penyokong sendiri dan membawa momentum kemenangan pada Terbuka Thailand minggu lepas, Pearly-Thinaah gagal mengekalkan konsistensi permainan sebelum akur dengan kekalahan 16-21, 21-15 dan 14-21.
Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut Pearly-Thinaah kepada pasangan sama selepas tewas di Masters Orleans 2025 pada Mac lepas.
“Untuk perlawanan hari ini, kita rasa sangat kecewa tapi kita takkan sedih lama. Kita tak mahu perlawanan ini memberi kesan untuk dua minggu akan datang punya kejohanan.
“Sudah tentu, saya hanya fikir kejohanan berturut-turut, kami sangat teruja dan kami mengambil satu langkah, satu perlawanan pada satu masa dan saya fikir kami melakukannya, kami benar-benar memberikan yang terbaik dan kami melakukannya dengan cukup baik,” kata Pearly kepada pemberita di sini hari ini.
Pearly menyifatkan Yi Fan mempunyai variasi permainan yang baik terutamanya dalam mengawal bahagian belakang gelanggang, manakala Shu Xian adalah pemain jaring yang agresif di hadapan menjadikan gabungan beregu wanita yang serasi.
Kekalahan itu menyaksikan Masters Malaysia terus menjadi medan duka buat Pearly-Thinaah yang kali terakhir mara ke final kejohanan ini pada edisi 2023, namun tewas kepada pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee, 20-22, 21-8, 17-21 dalam pertarungan epik selama 101 minit.
Dalam pada itu, Pearly-Thinaah terus mengunci mulut mengenai masa depan mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas kontrak mereka dilaporkan berakhir pada hujung tahun lepas.
“Tiada komen. Kita memang ada dua minggu lagi untuk kejohanan. Kita pun tak ada masa, jadi tiada komen mengenai perkara ini,” kata Pearly.
Pearly-Thinaah seterusnya dijadualkan bertemu pasangan Hong Kong Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan pada pusingan pertama Terbuka Singapura 2025 yang akan berlangsung dari 27 Mei hingga 1 Jun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial