SUKAN > BERITA

Masters Malaysia: Wei Chong-Kai Wun 'smash' Sze Fei-Nur Izzuddin Ke Separuh Akhir

23/05/2025 10:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei  (Bernama) -- Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun akhirnya berjaya menamatkan badi kekalahan ke atas rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila mara ke separuh akhir Masters Malaysia 2025 hari ini.

Tampil dengan rekod pertemuan 0-2 sebelum ini, naib juara edisi 2023 itu menampilkan aksi bertenaga di depan penyokong sendiri untuk menewaskan pasangan lebih berpengalaman itu 19-21, 21-7, 21-16 dalam aksi suku akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Sebagai pilihan kelima, Wei Chong-Kai Wun wajar dipuji apabila tidak berputus asa selepas tewas set pertama, sebaliknya bangkit dengan permainan lebih kemas untuk memaksa set penentuan selepas menang mudah 21-7.

Diperkuat semangat selepas kebangkitan di set kedua, pasangan ranking kelapan dunia itu mempamerkan ketenangan luar biasa untuk memastikan kemenangan dalam tempoh 44 minit.

Kemenangan tersebut juga menyaksikan mereka layak ke separuh akhir buat kali pertama selepas empat kejohanan, kali terakhir melangkah sejauh itu ketika menjuarai Masters Indonesia, Januari lepas.

Sementara itu, Kai Wun menyifatkan sikap tidak mudah mengalah menjadi kunci kebangkitan mereka, terutama di set penentuan.

“Kami tidak pernah putus asa dari segi mental, kami hanya fokus satu mata demi satu mata dan langsung tidak fikir soal menang,” katanya kepada media.

Mengulas pertemuan separuh akhir esok, Wei Chong berkata kejayaan hari ini meningkatkan keyakinan mereka untuk cuba mencatat kemenangan pertama ke atas gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, selepas dua kekalahan sebelum ini.

Hoki-Kobayashi yang juga juara dunia 2021 terdahulu hanya memerlukan 29 minit untuk menewaskan pilihan ketiga dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-10, 21-13 untuk melangkah ke separuh akhir.

Sementara itu, Nur Izzuddin mengakui mereka gagal mengekalkan momentum dan sukar membaca taktikal Wei Chong-Kai Wun dalam dua set terakhir.

Ditanya mengenai kemerosotan prestasi sejak menjuarai Terbuka India awal tahun ini, pemain berusia 27 tahun itu berkata mereka perlu kembali memperkukuh fokus dan keyakinan diri untuk bangkit semula.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan