SUKAN > BERITA

AKSI ‘BATTLE OF THE REDS’ MENGGAMIT MEMORI - DAVID JAMES

25/04/2024 09:32 PM

PETALING JAYA, 25 April (Bernama) --  Aksi Battle of the Reds membabitkan legenda Liverpool dan Manchester United, menggamit kenangan manisnya ketika menjadi penjaga gol The Reds pada era 90-an, kata David James.

Beliau berkata perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini, bakal menjadi pertembungan ‘hangat’ kerana kedua-dua pasukan merupakan musuh tradisi, namun tetap bersahabat ketika di luar padang.

Legenda bola sepak berusia 53 tahun yang tiba di Malaysia semalam mengakui tidak sabar untuk bertemu dengan peminat yang sudah pastinya membakar semangat mereka untuk mencipta kemenangan buat pasukan Liverpool.

“Saya harap peminat dapat datang kerana ia merupakan perlawanan Manchester United dan Liverpool. Mereka tahu kami merupakan musuh tradisi dan saya rasa kedua-dua pasukan akan lakukan yang terbaik untuk menewaskan lawan, tapi Liverpool akan menang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas sesi temu mesra sempena Battle of the Reds yang turut dihadiri Jason Mcateer (Liverpool Red) dan dua pemain Manchester Red, Paula Rachubka dan David May di Sunway Pyramid di sini hari ini.

Mengenai perkembangan Liga Perdana Inggeris (EPL), James berkata Manchester City tidak menghadapi masalah untuk merangkul kejuaraan buat kali keempat.

Ketika ini, Arsenal mengungguli liga dengan 77 mata diikuti Liverpool kedua (74 mata) selepas melengkap 34 daripada 38 perlawanan, manakala Manchester City ketiga (73 mata).

Manchester Red membariskan Dwight Yorke selaku pengurus,  bersama  David May, Wes Brown, Clayton Blackmore, Keith Gillespie, Ben Thornley, Eric Djemba Djemba, Paul Rachubka, Russell Beardsmore, Lee Martin, Danny Webber, Mikael Silvestre, Quinton Fortune, Dimitar Berbatov, Erik Nevland, and Dion Dublin dan Teddy Sheringham sebagai kapten pasukan.

Liverpool diketuai David James, Emile Heskey, Glen Johnson, John Arne Riise, Patrik Berger, Vladimir Smicer, Steve McManaman, Jason McAteer, Florent Sinama, John Durnin, David Thompson, Jermaine Pennant, Djibril Cisse, and Phil Babb, dan Luis Garcia selaku kapten.

Battle of the Reds disokong oleh Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan