SUKAN > BERITA

SABAH, KL CITY TENTUKAN JUARA PIALA SMJ MALAM ESOK

04/05/2024 04:12 PM

KOTA KINABALU, 4 Mei (Bernama) -- Dua pasukan Liga Super iaitu Sabah FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC akan berentap menentukan kejuaraan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam perlawanan akhir di Stadium Likas di sini pada 8 malam esok.

Dua pasukan itu layak ke perlawanan akhir setelah KL City menduduki tempat pertama dan Sabah kedua dalam peringkat liga, manakala Kuching City FC dan Hougang United FC dari Singapura bertemu dalam perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat pada 4 petang esok di stadium sama.

Ketua Jurulatih Sabah Datuk Ong Kim Swee berkata sudah tentu pasukannya akan bermain untuk menang pada perlawanan malam esok, namun apa yang lebih penting memastikan tiada kecederaan dalam kalangan pemain menjelang perlawaan pertama Liga Super pada 12 Mei ini.

Beliau berkata banyak telah dipelajari skuad ‘Badak’ dalam perlawanan Piala SMJ yang berkesudahan satu menang dan dua seri itu, termasuk kelemahan dan kekuatan pemain serta kombinasi terbaik untuk liga nanti.

"Terpulang kepada keadaan esok, kita akan tentukan pemain mana cergas bermain esok. Kecederaan pemain sudah tentu merisaukan tambah pula jika pemain utama cedera, tetapi kita cuba bermain dengan baik.

"Ini kita akan teliti kerana dalam liga nanti kita perlukan semua 25 pemain (didaftarkan) dalam kecergasan terbaik bagi hadapi kecederaan dan penggantungan pemain," katanya dalam sidang media Piala SMJ di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City Miroslav Kuljanac berkata dia puas hati dengan prestasi pasukannya dalam Piala SMJ selepas dua menang dan satu kalah, selain mahu skuad ‘City Boys’ itu mengekalkan momentum tersebut dalam perlawanan akhir esok.

“Bagus kalau dapat menang piala tetapi lebih penting kita mahu bersedia dan memberikan minit permainan kepada pemain. Kita juga tidak mahu ada pemain yang cedera esok. Kita telah bermain dengan baik dalam Piala SMJ ini,” katanya. 

Pada 12 Mei ini, Sabah akan berdepan dengan Penang FC manakala KL City akan bertemu Kuching City dalam perlawanan pertama masing-masing bagi Liga Super musim ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan