Selasa, 29 September 2020
SUKAN
17/09/2020 10:05 AM

KUALA LUMPUR, 17 Sept  -- Baru saja meraih kemenangan pertama musim ini pada Grand Prix (GP) San Marino di Itali minggu lepas, pelumba Petronas Sprinta Racing, John McPhee berhasrat untuk mengekalkan prestasi membanggakan di Litar Dunia Misano untuk GP Emilia Romagna pada hujung minggu ini.

Pelumba berusia 26 tahun dari Britain itu berkata beliau gembira dengan kemenangannya di litar sama baru-baru ini dan berharap dapat mengekalkan momentum kejuaraan beliau pada perlumbaan seterusnya.

“Dengan pusingan seterusnya dalam kejohanan ini juga di Misano, kami melaluinya dengan penuh keyakinan bahawa kami boleh memperoleh satu lagi keputusan yang hebat,” katanya dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu hari ini.

“Sudah tentu, saya berusaha keras dalam sesi kelayakan, jadi saya akan menyasarkan kedudukan permulaan yang lebih baik kali ini. Tunggu dan lihat apa akan berlaku, tetapi saya teruja untuk berlumba lagi,” kata McPhee yang kini berada di tempat ketiga dalam Kejohanan Dunia Moto3 dengan 92 mata.

Sementara itu, rakan sepasukannya Khairul Idham Pawi (KIP) sedang bersaing untuk terus maju sejak kembali ke litar selepas menjalani pembedahan jari di Barcelona, Sepanyol bulan lepas.

Walaupun mengalami kesakitan berikutan pembedahan itu, pelumba Malaysia berusia 21 tahun itu mampu memperbaiki masa sepusingannya dalam setiap sesi pada GP San Marino baru-baru ini.

“Pada pusingan pertama Misano, saya menghadapi beberapa kesukaran untuk menyesuaikan diri kembali dengan jentera, tetapi keadaan bertambah baik pada setiap sesi dan saya hanya perlu menunggang lebih banyak untuk mendapatkan kembali perasaan itu.

“Saya rasa bagus dapat berada di litar sama sekali lagi kerana saya tahu di mana saya boleh memperbaiki diri di sini. Diharapkan, prestasi saya bertambah baik dan kita dapat berlumba dengan baik,” katanya yang belum memperoleh sebarang mata selepas tujuh perlumbaan.

GP Emilia Romagna akan bermula dengan sesi latihan bebas pada Jumaat, diikuti sesi kelayakan pada Sabtu sebelum perlumbaan sebenar pada Ahad.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan