KERETA SAFIQ RAHIM DIPECAH GUNA TUKUL, INSIDEN KETIGA BABITKAN PEMAIN BOLA SEPAK

08/05/2024 09:50 AM

JOHOR BAHRU, 8 Mei (Bernama) -- Kereta pemain tengah pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecah individu tidak dikenali menggunakan tukul besi di Jalan Sri Gelam di sini malam tadi.

Menurut laporan polis yang dibuat Safiq di Balai Polis Larkin, insiden berlaku pada 10.05 malam ketika beliau memandu kereta Honda City dari Pusat Latihan JDT Sri Gelam menghala ke Pantai Lido.

Menurut Safiq, beliau telah didatangi sebuah motosikal yang ditunggang dua lelaki tidak dikenali dan pemboncengnya bertindak mengeluarkan tukul besi sebelum mengetuk bahagian belakang cermin kereta.

“Saya yang terkejut memberhentikan kereta… kedua-dua lelaki terbabit berhenti di hadapan kereta sambil menunjukkan tukul dan saya mengundurkan kereta kerana ketakutan.

“Kedua-dua lelaki tersebut meninggalkan tempat kejadian tidak lama kemudian, akibat kejadian ini cermin belakang kereta saya telah pecah,” katanya dalam laporan polis yang dibuatnya selepas insiden itu.

Sementara itu, polis memaklumkan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan masih mengesan suspek yang terlibat.

Pada Ahad lepas, negara digemparkan dengan insiden pemain kebangsaan Faisal Halim disimbah asid di pusat membeli-belah di Kota Damansara, Selangor sehingga menyebabkan kelecuran tahap empat.

Tonggak Selangor FC itu kemudian mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Insiden itu berlaku selang beberapa hari selepas seorang lagi pemain kebangsaan Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di kepala serta kaki selepas diserang dan disamun oleh dua individu di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan