RENCANA

USAHA PERTANIAN MAMPAN JADI KEUTAMAAN PENDUDUK MELBOURNE

09/04/2024 12:34 PM

Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail

Usaha-usaha kelestarian serta meminimumkan jejak karbon terutamanya dalam pengeluaran makanan bukan setakat topik perbincangan di Melbourne, Australia.

Sebaliknya, warga bandar kedua terbesar Australia ini, terutamanya komuniti petani, mengambil sikap serius terhadap isu ini. (Jejak karbon dikaitkan dengan jumlah pelepasan gas rumah hijau termasuk karbon dioksida akibat kegiatan manusia.)

Dari menanam buah-buahan serta sayur-sayuran organik kepada menghasilkan sendiri baja kompos dan menggunakan kuasa solar, ladang di bandar ini turut menyertai program pendidikan untuk menyemai tanggungjawab melindungi persekitaran dalam kalangan anak-anak muda.

Tidak dapat dinafikan, malahan di pinggir bandar dan kampung, konsep ini sememangnya diterima dengan baik oleh komuniti di kawasan berkenaan dan diamalkan dengan berkesan.

Ini terutamanya dalam pengeluaran makanan, yang menjadi amalan biasa, terutama selepas pandemik COVID-19 melanda dunia pada awal tahun 2020, memaksa ramai yang bekerja keras untuk kelangsungan hidup.

Ketika itulah komuniti di Melbourne (yang juga ibu negeri Victoria) berganding bahu untuk membantu bukan sahaja mereka yang terjejas teruk tetapi juga menjaga kesejahteraan planet Bumi ini.

Penulis adalah antara wartawan ASEAN iaitu dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Thailand, Laos, Filipina, Vietnam dan Timor Leste yang melawat Melbourne baru-baru ini dan sememangnya kami berasa kagum dengan cara warga Melbourne ‘Melburnians’ begitu komited mengamalkan kelestarian yang menjadi norma baharu dan elemen penting di Australia.

Kami turut dimaklumkan bahawa perladangan dan pengeluaran makanan adalah bahagian penting budaya Australia dan menggalakkan amalan kelestarian dalam pengeluaran makanan.

Lawatan tiga hari itu (4-6 Mac) adalah di bawah program Lawatan Media Antarabangsa Pelancongan Australia, bersempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) -Australia (4-6 Mac).

 

SAYANG PLANET SECARA MAMPAN

Menurut Renae Denny, wakil Pelancongan Australia, amalan kelestarian semakin bersungguh-sungguh dilaksanakan sejak pandemik COVID-19 mula reda.

"Rakyat Australia sentiasa mencari kaedah untuk mendidik serta menggalakkan semua orang untuk menyertai usaha menjaga dan menyayangi planet ini dalam cara yang mampan dan mendokong amalan yang lebih baik."


Renae Denny, wakil Pelancongan Australia.

Lawatan ke ladang madu, buah-buahan dan sayur serta ladang anggur di Semenanjung  Mornington, terletak di bahagian selatan Melbourne, jelas menunjukkan pelaksanaan amalan mampan ini.

Tempat yang kami kunjungi termasuk Pure Peninsula Honey di Derril Road Moorooduc, Torello farm gate, Green Olive Red Hill vineyard dan kawasan mewah seperti Point Leo Estate.

Meskipun amalan kelestarian dilaksanakan di sini secara individu dan berskala kecil, namun ia mempunyai kesan besar apabila diambil kira perubahan iklim dan kelestarian.

 

GALAK GOLONGAN MUDA AMALAN MAMPAN

Di Torello, pasar kecil yang menjual produk setempat di White Hill Road, Dromana, kedai sehentian yang dikendalikan oleh keluarga Mark Brancatisano dan Sophie O'Neill ini menjual hasil keluaran tempatan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan organik, ayam itik, daging lembu dan biri-biri yang dibela secara bebas, kepada komuniti tempatan.

Menurut O'Neill, Torello farm gate juga menggalakkan amalan perladangan secara tertutup atau menggunakan sumber dalam secara mampan di samping menggalakkan golongan muda terlibat dalam pengeluaran makan di bawah program inkubasi.

Beliau berkata, anak muda perlu dilibatkan bukan sahaja dalam pengeluaran makanan tetapi juga secara mampan.

"Di sini, kami ada lapan pengeluar yang menanam pelbagai jenis buah-buahan serta sayur-sayuran organik, menggunakan baja kompos yang dihasilkan sendiri. Kami juga mempunyai haiwan ternakan dari penternak berhampiran.

"Roti yang dijual di sini adalah dari ladang Tuerong. Produk kami semua dijual secara tempatan," kata O'Neill.


Mark Brancatisano (tengah) di Torello farm gate.

William Guymar, 18, seorang peserta program inkubasi berkata, beliau amat berminat dalam bidang pertanian dan bercita-cita menjadi petani, memandangkan banyak selok-belok pertanian yang sudah dipelajari di Torello farm gate.

Beliau dan mentornya, Claire Barnes, diberi tanah seluas kira-kita 5.7 hektar oleh pihak Torello untuk menanam sayur-sayuran organik.

"Program ini sudah dikendalikan bertahun-tahun lamanya dan mampu menawarkan peserta peluang sama ada bekerja di ladang lain atau mengendalikan ladang mereka sendiri," kata Claire.

Beliau turut menekankan bahawa peserta diajar pelbagai kemahiran pertanian secara mampan, tanpa menggunakan kimia, sebaliknya menjaga tanah dengan baik agar dapat wujud sistem ekologi pertanian yang sihat.

 

LEBAH MENDEBUNGA TANAMAN WUJUD EKOSISTEM MAMPAN

Di Pure Peninsula Honey, pihak media diberi penerangan tentang kepentingan lebah dalam sistem ekologi untuk membantu mendebungakan tanaman lain di ladang canola yang berhampiran.

The Green Olive di Ladang anggur Redhill yang sudah beroperasi sejak tahun 2002, terdapat sebanyak 500 pokok zaitun, herba dan sayur-sayuran. Luas ladang ini adalah 10.9 hektar, menggunakan amalan pertanian mampan.


Kumpulan media di Green Olive vineyard.

Pengurusnya Sophie O'Donoghue berkata, di samping menghasilkan tanaman untuk kegunaan restoran mereka, bahan ramuan lain diperolehi daripada pengeluar-pengeluar tempatan.

"Kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi hartanah yang mampan di Semenanjung  Mornington Peninsula dan ini boleh dilihat daripada pemasangan panel solar 39-kilowatt di atas bumbung kami untuk menghasilkan tenaga elektrik.

"Apabila matahari memancar, keseluruhan hartanah kami menggunakan kuasa solar, dan sekiranya kamiu tidak menggunakan sebarang solar, kuasa elektrik yang dihasilkan, dihantar terus ke grid," kata O'Donoghue.

Beliau berkata, ladang anggur itu menerima kunjungan pelawat dalam dan luar negara yang dibawa melawat ladang yang diuruskan secara mampan. Program lawatan ini dibuat secara berkala bagi mempromosikan amalan lestari.

 

KURANGKAN KARBON IKUT CARA ESTET POINT LEO

Amalan mampan dan meminimumkan jejak karbon oleh sekumpulan kecil orang mungkin dilihat sebagai terlalu kecil impaknya, namun bagi pemain industri berskala besar, mereka mengalu-alukan usaha seperti itu.

Point Leo Estate, ladang seluas 121.4 hektar di Semenanjung Mornington, yang mengandungi ladang anggur seluas kira-kira 20 hektar termasuk restoran eksklusif Laura dan taman arca, serius dengan amalan kelestarian.


Antara menu yang disajikan di Laura.

Pengurus besarnya, Roger Lancia berkata, berdasarkan saiz dan bentuk perniagaan, Pt Leo Estate peka dengan jejak karbonnya.

"Kami menerima lebih dari 200,000 pengunjung setahun, oleh itu kami amat mengambil berat tentang jejak karbon kami. Untuk mendapatkan bahan ramuan, kami bekerja rapat dengan petani dan perniagaan tempatan di samping pengeluar tempatan. Semuanya adalah dari Australia dan kebanyakannya dihasilkan secara tempatan.

"Kami mempunyai sebuah taman yang mengandungi tanaman yang boleh dimakan berhampiran restoran. Untuk sumber protin, kami peroleh dari Philip Island, ikan kami dari perairan Australia. Kami cuba mengurangkan jejak karbon. Bagi kami, apa yang dilakukan bukan sahaja mampan tetapi menjamin kesegaran produk kami," kata Roger.

Pengarah kulinari, Josep Espuga, berkata, tukang masak mereka menghasilkan menu berdasarkan ramuan yang disediakan oleh pengeluar tempatan, bergantung kepada musim.

"Menu kami berdasarkan apa yang peladang atau nelayan bawa kepada kami," kata Espuga.

Bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan isterinya Michelle, singgah di Laura, salah sebuah restoran, untuk makan tengah hari tahun lepas.

Estet peribadi itu juga mengandungi 70 buah arca, di dalam dan di luar, dianggarkan bernilai  A$100 million (A$1=RM3.13) dan adalah salah sebuah daripada lima buah taman peribadi terkemuka di dunia.

 

AUSTRALIA, NEGARA ASEAN MAIN PERANAN BESAR UNTUK KEMAMPANAN

Apa yang diamalkan oleh komuniti pertanian di Melbourne ini sinonim dengan fokus sidang kemuncak khas iaitu kelestarian atau kemampanan dengan para perwakilan menggesa semua negara memainkan peranan masing-masing untuk menggalakkan masa depan mampan.

Hasil daripada Sidang Kemuncak itu, Australia dan anggota ASEAN mengisytiharkan  Deklarasi Melbourne, antaranya, mengiktiraf perubahan iklim adalah masalah global yang memerlukan penyelesaian global dan serantau.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan