RENCANA

SISTEM TRADISI TAGAL PASTIKAN EKOSISTEM SUNGAI DI SABAH TERKAWAL

20/03/2024 10:42 AM

Memulihara sungai serta hidupan akuatik terutama ikan air tawar sudah sebati dalam kehidupan rakyat Sabah dan ini dilaksanakan melalui sistem tagal atau Bombon, bermaksud ‘jangan’ dalam bahasa Kadazandusun.

Diamalkan sejak bergenerasi lamanya, kejayaan sistem ini bukan sahaja mampu memulihara alam sekitar tetapi juga memberikan bekalan sumber mampan buat penduduk setempat.

Melalui sistem tagal, penduduk mengawal aktiviti menangkap ikan di sungai mengikut tiga zon iaitu zon merah larangan menangkap ikan, zon hijau bebas menangkap ikan sementara zon kuning, tangkapan ikan sekali dalam tempoh tertentu, bagi memastikan ikan tidak pupus serta terus memberikan bekalan makanan.

Jabatan Perikanan Negeri Sabah (DOF) memperluaskan sistem tagal di seluruh Negeri Di Bawah Bayu ini sejak tahun 2003, melibatkan penyertaan sepenuhnya masyarakat setempat dengan pemantauan jabatan berkenaan. Malah, usaha untuk menjayakan sistem tagal ini dilaporkan bermula sejak 1980-an lagi iaitu di Tuaran sekitar tahun 1987.

Bagaimanapun, memanglah bukan mudah untuk memastikan keberkesanan sistem ini, dan ia memerlukan kerjasama erat dan ketegasan dalam memastikan sungai itu dapat dijaga selain memberikan hasil memuaskan kepada ahli tagal terdiri daripada penduduk kampung.

 

PERATURAN TEGAS

Penulis baru-baru ini berpeluang menyertai ‘menuai tagal’ atau aktiviti menangkap ikan di sungai yang dipulihara melalui sistem tersebut di beberapa kampung di Kiulu di sini yang terletak kira-kira 67 kilometer arah utara dari Kota Kinabalu.

Antara kampung yang menjalankan aktiviti menuai tagal atau 'buka tagal' itu adalah Kampung Ranap, Kitapol, Pukak, Lokub, Sukang, Linga, Tulung, Mantob, Dumpiring, Mangkaladom, Pinahawon, Pinagon dan Kampung Tiku yang majoritinya terdiri daripada etnik Dusun.


Jabatan Perikanan Negeri Sabah memperluaskan sistem tagal di seluruh itu ini sejak tahun 2003, melibatkan penyertaan sepenuhnya masyarakat setempat.

Penulis dimaklumkan, bagi memastikan sistem tagal ini berkesan dalam menyuburkan simbiosis atau interaksi rapat antara manusia dan sungai, ia perlu dikendali dengan tegas dan teratur. Pemantauan perlu dilakukan setiap masa agar hasil tangkapan ikan diperolehi semasa musim menuai ikan tidak mengecewakan dan memuaskan hati.

Penulis melihat hasil tangkapan ikan yang diperolehi berbeza-beza dan ada yang memperolehi hasil yang tidak banyak dan kurang memuaskan, namun ada yang memperolehi hasil tangkapan ikan yang banyak sehingga melebihi satu tan.

Ikan di sungai yang ditagal hanya boleh dituai dalam tempoh setahun atau dua tahun sekali selepas diputuskan oleh jawatankuasa tagal yang dianggotai penduduk kampung, dan buka tagal di Kiulu baru-baru ini, menurut penduduk kampung, sesuai diadakan berikutan musim kemarau berlaku di kawasan berkenaan. 

Aktiviti itu bukan sahaja disertai saudara-mara penduduk, malah rakan dari luar daerah turut berpeluang menangkap ikan secara tradisional yang pastinya satu pengalaman yang mengujakan. Antara ikan yang ada di sungai berkenaan ialah ikan Barob, Pelian, Sarawi dan Lampam Sungai atau lebih dikenali sebagai Gayomato.

 

LEBIH 600 KILOGRAM IKAN

Rata-rata mereka yang penulis temui menyatakan, sistem penjagaan tagal adalah antara faktor untuk memastikan berapa banyak hasil yang akan diperolehi dan keberkesanan sistem itu.

Pengerusi Tagal Sungai Pisapakan Dumpiring Edjilon Tongiak, 45, memberitahu Bernama, walaupun hanya sembilan bulan sejak tagal berkenaan dituai, namun hasil yang diperolehi pada tahun ini sangat memuaskan dan sedikit banyak berbanding tahun lepas (2023).

Menurut beliau, dalam masa hanya kira-kira dua jam menuai tagal di sungai itu, pihaknya berjaya menangkap lebih 600 kilogram ikan dan setiap ahli tagal itu membawa pulang kira-kira 14 kilogram seorang.

“Saya sangat berpuas hati dengan hasil tangkapan ini dan saya percaya setiap ahli yang berdaftar pulang ke rumah dengan hati yang gembira. Hasil tangkapan ikan yang lumayan itu tidak akan dapat diperolehi sekiranya tiada kerjasama semua ahli yang berdaftar serta penduduk kampung,” katanya.


Sistem tagal yang diamalkan di kampung mampu memulihara ekosistem sungai di kawasan itu serta memastikan spesies ikan air tawar tidak pupus.

Edjilon berkata, selain memberi makan kepada ikan-ikan berkenaan, pemantauan perlu dilaksanakan dengan kerap untuk mengelakkan tagal diceroboh oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk mencuri ikan atau melakukan perbuatan melanggari peraturan yang ditetapkan.

"Pemantauan secara rambang tidak kira siang atau malam kita akan gilir-gilirkan petugas daripada kalangan ahli untuk melakukan pemantauan, ini penting untuk pastikan kawasan tagal tidak dimasuki pencuri.

"Kita dengar ada kawasan tagal di tempat lain yang tidak mempunyai ikan disebabkan ada penceroboh atau lebih dikenali sebagai 'pencuri tagal', oleh itu kita kena tingkatkan pemantauan agar perkara sedemikian tidak berlaku," katanya.

 

 

PERATURAN KETAT

 

Pengerusi Tagal Tulu Sala Pinahawon Longkumin Kimus, 60, pula berkata, untuk memastikan tagal dapat menghasilkan tangkapan yang lumayan, peraturan tagal perlu diperketatkan.

Sebagai contoh, katanya, sesiapa yang didapati menceroboh tagal untuk tujuan mencuri perlu dikenakan tindakan tegas untuk memberikan pengajaran kepada orang lain, yang mana sebelum ini ada kejadian kecurian tagal namun pesalah hanya diberikan nasihat dan amaran.

“Saya rasa tindakan berkenaan perlu lebih ketat. Mungkin kita boleh mengikuti peraturan yang ditetapkan seperti denda tidak kurang daripada RM5,000 atau denda seekor kerbau sekiranya didapati bersalah. Sekiranya perkara ini dilaksanakan sudah tentu pencuri berfikir dua kali," katanya.


Pengerusi Tagal Kampung Pinagon Martin Lotupas,59, yang juga ketua kampung itu berpendapat, sistem undang-undang tagal perlu dipertingkat dan dipatuhi oleh semua pihak, sama ada ahli atau tidak dalam pertubuhan tagal berkenaan.

"Sudah tibanya kita perkasakan undang-undang tagal demi kelangsungan ikan dan hasil yang bakal diperolehi setelah musim menuai ikan. Sebelum ini kita memang ada undang-undang sedia ada.

“Namun ia tidak dipraktikan kerana kita lebih memilih hukuman yang lebih ringan berbentuk 'sogit' seperti mengenakan denda seekor ayam ke atas individu yang didapati melanggar undang-undang tagal," katanya.

 

 

PASANG CCTV

Seiring dengan era kemajuan teknologi, Pengerusi Tagal Kampung Mangkaladom, Lodimun Balantis, 65, berpandangan, sudah tiba masanya setiap kampung yang mempunyai kawasan tagal mengambil pendekatan baharu iaitu memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau tagal.

"Pemantauan CCTV sangat berkesan dan tidak menggunakan tenaga penduduk untuk berjalan  memantau. Sekiranya ada CCTV, pengerusi tagal atau individu bertanggungjawab dapat pantau tagal dari  rumah atau di mana sahaja kerana pada masa kini ada CCTV yang terus ditonton melalui telefon pintar.

"Persatuan tagal di kampung kami akan berbincang mengenai perkara itu dalam masa terdekat dan sudah semestinya ia melibatkan kos wang ringgit dan saya berharap semua ahli setuju untuk memberikan sumbangan selain menggunakan tabung sedia ada," katanya.

Beliau berkata, pemasangan CCTV sudah lama dilaksanakan untuk memantau sesebuah kawasan seperti hutan simpan serta kebun dan ia dilihat sangat berkesan.

"Sekiranya ada CCTV, kita akan tahu siapa individu yang tidak bertanggungjawab menceroboh tagal kita dan kita boleh mengambil tindakan berdasarkan bukti berkenaan. Sekiranya ada bukti yang nyata individu berkenaan tidak boleh menyangkal.

"Selain itu kita akan uar-uarkan bahawa kawasan tagal kita sudah diperkasa dengan pemantauan menggunakan CCTV dan sudah semestinya orang yang mahu menceroboh takut, sekali gus memastikan tagal kita sentiasa selamat dan terjaga.

Seorang ahli tagal di Kampung Dumpiring, Laryson Lobindin, 45, berkata, sistem pemantauan tagal menggunakan CCTV sangat dialu-alukan dan perlu disokong oleh semua pihak khususnya semua ahli.

"Pemantauan pada masa kini yang dilakukan oleh ahli yang dilantik. Bukan tidak berkesan namun adalah lebih baik menggunakan kaedah yang senang dan tidak memenatkan...kalau ada CCTV kita boleh pantau 24 jam sehari.

"Sekiranya ada persatuan tagal yang tidak mampu memasang CCTV, mungkin kita boleh cuba berhubung dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk meminta bantuan kewangan," tambahnya.

 

PRODUK PELANCONGAN

Sementara itu, Pengerusi Tagal Sungai Gunaton, Unus Limun, 49, berpendapat, selain memberi tumpuan kepada hasil tuaian ikan, sistem tagal juga boleh dijadikan salah satu produk pelancongan luar bandar yang mampu dijadikan sebagai tarikan pelancong ke Sabah.

Beliau berkata, sistem tagal yang diamalkan di kampung, terutama di sekitar Kiulu di sini, dilihat berkesan dalam memulihara ekosistem sungai di kawasan itu serta memastikan spesies ikan air tawar di sungai terlibat tidak pupus.

"Industri pelancongan yang memanfaatkan sistem tagal sebagai produk utama sudah lama dilaksanakan di beberapa tempat di Sabah seperti sistem tagal Kampung Luanti, Ranau kini terkenal dan sering menerima kunjungan pelancong tempatan ataupun pelancong luar negara.

“Pelancong datang melihat ikan yang dipelihara kerana sistem berkenaan tiada diamalkan di kawasan mereka. Kita perlu jadikan sistem tagal Kampung Luanti sebagai contoh untuk memajukan tagal kita sebagai salah satu produk pelancongan di kampung masing-masing," tambahnya.

Beliau menambah, sekiranya tagal berkenaan sudah berjaya dijadikan salah satu produk pelancongan, ia akan turut memberikan manfaat kepada penduduk khususnya dalam pembangunan ekonomi.

"Banyak peluang perniagaan yang akan dapat dibangunkan seperti inap desa, perniagaan produk tempatan seperti kraf tangan, buah-buahan dan sebagainya. Ini kerana pelancong yang akan melawat tagal sudah semestinya mencari tempat tinggal sekiranya datang daripada jauh, khususnya pelancong luar," katanya.

Sementara itu, seorang ahli tagal Kampung Ranap, Kadie Calvin, 45, berkata, selain dijadikan produk pelancongan, sistem tagal juga sering dilawat oleh para peminat pancing lepas, bukan sahaja dari Sabah tetapi juga dari Semenanjung.

"Bukan sahaja pelancong, malahan peminat aktiviti pancing lepas selalu mencari lokasi tagal untuk melepaskan 'gian' memancing mereka dan aktiviti berkenaan boleh mengisi tabung pungutan sistem tagal itu sendiri.

"Pemancing yang datang akan berhubung dengan pengerusi tagal sebelum melakukan aktiviti berkenaan dan pemancing akan dikenakan bayaran yuran (yang jumlahnya) bergantung pada persatuan tagal berkenaan.

“Selain itu akan ada individu daripada kalangan ahli tagal dilantik menjadi pengiring atau penjaga sepanjang aktivitu dijalankan dengan bayaran bergantung kepada perbincangan kedua-dua pihak," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap selain mengutamakan hasil ikan semasa musim menuai, setiap persatuan tagal juga perlu menjaga ekosistem sungai di sepanjang Kiulu kerana potensi besar untuk dijadikan tarikan pelancong serta pelbagai aktiviti lain.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan