RENCANA

JANGAN TOLAK RAWATAN GIGI MESKIPUN BERPUASA

13/03/2024 09:27 AM

Oleh Nurqalby Mohd Reda

Perkara-perkara membatalkan puasa sering timbul ketika umat Islam menjalani ibadah ini, antaranya ialah rawatan gigi yang soalannya kerap diajukan kepada pengamal atau doktor pergigian.

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Malaysia (Jakim), prosedur rawatan pergigian tidak akan membatalkan puasa dengan syarat pesakit tidak menelan sebarang bahan secara sengaja ketika rawatan.

Selain itu, amalan penjagaan kebersihan mulut seperti memberus gigi, flos dan berkumur menggunakan cecair atau ubat kumur juga sama sekali tidak membatalkan puasa dengan syarat tidak ditelan secara sengaja.

Oleh itu secara asasnya, segala bentuk penjagaan dan rawatan gigi dan mulut boleh dilakukan meskipun seseorang itu berpuasa, asalkan kesihatan umum pesakit dalam keadaan baik.

Pengamal perubatan juga harus mengambil langkah berhati-hati supaya pesakit tidak tertelan sebarang bahan atau ubatan sepanjang prosedur rawatan dijalankan.

 

UBAH PERSEPSI

Berkongsi mengenai perkara ini, Pensyarah Fakulti Pergigian, Universiti Malaya Prof Madya Dr Nor Azlida Mohd Nor berpendapat, umat Islam harus mengubah persepsi bahawa mendapatkan rawatan gigi pada bulan Ramadan akan membatalkan puasa.

Beliau berkata, pengamal pergigian dan ahli agama perlu secara meluas memberi kefahaman dan penerangan yang jelas tentang prosedur rawatan gigi sepanjang bulan puasa dan menekankan bahawa ia sebenarnya tidak menjejaskan ibadah berpuasa seseorang.

‘’Sebelum ini pihak Jakim sendiri mengeluarkan garis panduan berpuasa bagi pesakit (gigi), namun begitu, sehingga kini, masih ada segelintir umat Islam yang keliru dan was-was untuk melakukan rawatan gigi ketika berpuasa.

‘’Bagi saya pengamal pergigian boleh mengambil peranan menjelaskan kepada pesakit bahawa prosedur rawatan gigi itu tidak membatalkan puasa pesakit mereka kerana prosedur ini sememangnya dibolehkan,’’ katanya kepada Bernama.

Antara rawatan pergigian itu adalah seperti tampalan, cuci gigi, rawatan  akar gigi, veneer, pengambilan x-ray dan acuan gigi.

Selain itu, rawatan yang memerlukan suntikan bius setempat termasuk pembedahan minor gigi bongsu dan proses cabutan gigi juga boleh dilakukan.

‘’Rawatan gigi yang memerlukan suntikan bius ini tidak membatalkan puasa kerana ia tidak melalui (rongga), malah tidak sampai ke rongga terbuka (yang membolehkan puasa terbatal).

‘’Manakala sapuan ubat kebas pula hanya melibatkan sapuan setempat. Sekiranya pesakit tertelan air liur sendiri juga tidak akan membatalkan puasa, namun sekiranya tertelan krim kebas atau bahan-bahan lain yang bercampur dengan air liur, dan ia dilakukan dengan sengaja itu sebenarnya yang akan membatalkan puasa,’’ tambahnya.

 

PROSEDUR RAWATAN

Mengulas lanjut, Dr Nor Azlida berkata, pengamal pergigian juga sentiasa peka dan cakna tentang sebarang prosedur rawatan yang dibuat ke atas individu berpuasa.

Namun, katanya, pesakit dinasihatkan untuk memaklumkan ketidakselesaan mereka sepanjang proses rawatan itu dilakukan termasuk menunjukkan isyarat ingin meludah apabila berasa ada air atau cecair bertakung di dalam mulut.

‘’Ada prosedur rawatan pergigian seperti tampalan gigi akan menggunakan alatan tangan bermotor yang mana akan ada air suling keluar dari alatan tersebut…namun ia dibantu dengan penggunaan suction atau alat penyedut untuk menyedut air yang terkumpul di dalam mulut  sewaktu rawatan dijalankan. Doktor boleh menggunakan dua alat penyedut iaitu yang biasa atau berkuasa tinggi.

‘’Pembantu perawatan pergigian juga selalunya akan membantu memastikan sedutan air dilakukan sebaiknya untuk memberi keselesaan kepada pesakit. Jadi pesakit tidak perlu risau kerana penggunaan alatan seperti ini akan mengelakkan pesakit tertelan apa-apa bahan  sewaktu prosedur rawatan dijalankan,’’ jelasnya.

Beliau menjelaskan, pengamal pergigian turut mempunyai alternatif dengan menggunakan empangan getah sewaktu prosedur tampalan gigi, bagi mengelakkan risiko pesakit tertelan air atau ketidakselesaan sekiranya air bertakung di dalam mulut sewaktu rawatan.

Paling penting, katanya, pengamal pergigian dan pesakit perlu sama-sama peka dan berhati-hati semasa rawatan, supaya kesefahaman dapat dicapai bagi mengelakkan daripada tertelan sesuatu dengan sengaja yang boleh membatalkan puasa. 

Dalam pada itu Dr Nor Azlida berkata, sekiranya rawatan pergigian itu memudaratkan pesakit yang berpuasa seperti pembedahan gigi bongsu atau implan, mereka akan dikategorikan sebagai orang sakit  dan diharuskan untuk berbuka.

Ia kerana kemungkinan  prosedur berkenaan memerlukan pesakit untuk mengambil ubat selepas rawatan seperti ubat antibiotik atau tahan sakit.

Apabila berdepan dengan situasi sebegini, pesakit dinasihatkan untuk tidak menolak daripada mendapatkan rawatan dengan alasan mahu terus berpuasa.

‘’Menolak untuk mendapatkan rawatan akan memudaratkan pesakit itu sendiri selain mewujudkan kesakitan berpanjangan kepada mereka.

‘’Sekiranya perlu, pengamal pergigian terutamanya di klinik swasta disarankan menyusun jadual rawatan selepas waktu berbuka yang secara tidak langsung memberi kemudahan kepada pesakit yang berpuasa, jadi tiada alasan untuk mereka menolak daripada mendapatkan rawatan pergigian,’’ katanya.

 

KEBERSIHAN MULUT

Menurut Dr Nor Azlida lagi, amalan penjagaan kesihatan gigi serta kebersihan mulut tidak boleh diabaikan walaupun di bulan Ramadan.

Ini kerana ketika berpuasa, mulut akan mudah kering sekali gus menyebabkan wujud bau mulut yang kurang menyenangkan.

Amalan penjagaan gigi dan kebersihan mulut yang optimum, tambahnya, perlu diteruskan meskipun berada dalam bulan Ramadan kerana soal kebersihan juga amat dititikberatkan dalam agama Islam.

‘’Bagi tujuan itu, kita sarankan untuk memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida sebelum tidur dan selepas bersahur selain melakukan rutin penjagaan gigi seperti biasa termasuk flos gigi dan penggunaan ubat kumur,’’ katanya menambah, bagi memastikan kesihatan gigi terus terjaga, perlu elakkan pengambilan makanan dan minuman bergula berlebihan semasa berbuka dan bersahur.

‘’Amalkan juga makanan yang seimbang dan berkhasiat sepanjang berpuasa, minum air putih secukupnya semasa berbuka juga antara amalan penting bagi menghindari dehidrasi serta memastikan badan serta mulut kita mendapat air yang secukupnya,’’ katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan