RENCANA

PERJUANGAN 'MASTAL ARIKIK' DEMI MASA DEPAN ANAK-ANAK BAJAU LAUT

18/08/2022 04:22 PM

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Oi Bilkuin, nda (tidak) payahlah kau jadi cikgu, nda pandai bha kau mengajar. Kau itu cuma orang Bajau Laut, nda punya pelajaran".

Meskipun ungkapan itu datang daripada sanak saudara dan rakan-rakannya, namun ia tidak meninggalkan kesan kepada Bilkuin Jimmysali, seorang tenaga pengajar di Iskul Sama Dilaut Omadal (Iskul), di Pulau Omadal, sebuah pulau terpencil di perairan Semporna, Sabah. (Iskul bermaksud sekolah dalam bahasa Bajau Laut).


Pulau Omadal mempunyai sebuah sekolah sementara iaitu Iskul Sama Dilaut Omadal, di mana tiga mastal arikik dan dua lagi guru sukarelawan (dan terlatih) mengajar 33 murid berumur antara enam dan 15 tahun membaca, menulis dan membuat matematik mudah. Kredit gambar FB Iskul Sama Dilaut Omadal.

Berusia 18 tahun, Bilkuin tidak pernah patah semangat dengan kata-kata yang dihamburkan, malah ia menjadi pembakar semangat untuk beliau untuk terus berkhidmat mengajar dan mendidik anak bangsanya.

Digelar 'Mastal Arikik' (bahasa Bajau) yang bermaksud 'Guru Kecil’, Bilkuin cekal menggagahkan diri demi memastikan lebih ramai anak bangsanya dapat menguasai kemahiran 3M (membaca, mengira, dan menulis) supaya tidak mudah ditipu oleh orang lain yang sering memandang rendah terhadap kaumnya.

MISI HAPUS STIGMA  


Salah seorang Mastal Arikik Bilkuin Jimmysali ketika dihubungi menerusi aplikasi Zoom.

Bilkuin yang merupakan orang asal Pulau Omadal adalah antara pelajar terawal di Iskul berkenaan yang ditubuhkan pada 2015.

Sebagai bekas pelajar Iskul yang mempunyai kemahiran mengajar, beliau dilantik sebagai Mastal Arikik bersama dua orang lagi sahabatnya yang juga berketurunan Bajau Laut iaitu Enidah Mulsid, 19,  dan Shima Manan, 16. 

Menyifatkan pendidikan asas adalah hak semua kanak-kanak dan bukan eksklusif untuk pihak tertentu, ia menjadi tanggungjawab buat dirinya dan rakan-rakannya untuk terus berusaha memberikan yang terbaik bagi semua kanak yang bersekolah di Iskul.

Pada masa ini terdapat seramai 33 orang kanak-kanak berusia antara enam hingga 15 tahun di sekolah berkenaan.

Bilkuin yang sudah dua tahun mengajar di Iskul berazam untuk melatih mereka untuk menjadi generasi Mastal Arikik yang seterusnya.

"Mungkin ramai tak tahu rata-rata orang Bajau Laut hanya bekerja sebagai nelayan, hidup secara nomad dan kurang mendapat akses kepada kemudahan asas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan sebagainya.

“Terdapat juga stigma kaum kami mudah ditindas dan menimbulkan banyak masalah sosial. Namun tidak dinafikan antara masalah sosial yang dihadapi sebilangan besar komuniti di sini adalah aktiviti menghidu gam.

"Oleh itu, bagi diri saya, apa yang penting ialah usaha kita yang mempunyai ilmu pengetahuan untuk berkongsi ilmu yang kita ada demi membangkitkan potensi anak-anak kecil di sini. Sampai bila kita ingin menjadi bangsa tidak berpelajaran dan terus ditipu?" katanya ketika dihubungi menerusi panggilan video Zoom, baru-baru ini. 

Menurut Bilkuin, sehingga hari ini masih ramai kanak-kanak Bajau Laut dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab untuk bekerja di sekitar bandar Semporna dalam usia yang tidak sepatutnya disebabkan faktor tiada pendidikan dan miskin, sekali gus menjadi mangsa penindasan orang luar.

PELBAGAI AKTIVITI PEMBELAJARAN


Selain belajar asas 3M, pelajar Iskul juga turut mempelajari ilmu bercucuk-tanam bagi membantu kemandirian hidup memandangkan komuniti Bajau Laut duduk di atas air. Kredit gambar FB Iskul Sama Di Laut Omadal.

Untuk pergi ke Iskul, setiap hari Bilkuin akan mendayung sampan dari rumah atas airnya di pesisiran Pulau Omadal menuju ke Iskul. Jarak antara rumahnya dengan Iskul sekitar 100 meter.

Jika cuaca buruk, beliau terpaksa menempuh laut yang bergelora dengan ombak tinggi. Namun itulah pengorbanan yang perlu dilakukannya demi mengajar anak-anak di Iskul.

Bagi anak muda itu, pendidikan tidak terhad di dalam kelas sahaja bahkan pendidikan luar kelas juga memainkan peranan penting untuk membentuk karakter individu yang lebih peka dan prihatin terhadap persekitarannya.

Bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas, antara subjek yang diajar ialah Bahasa Melayu, Matematik serta Seni dan Kebudayaan manakala bagi sesi P&P di luar kelas pula melibatkan subjek Sains Kehidupan, bercucuk tanam dan pembelajaran alam marin.

"Subjek di dalam kelas biasanya bermula pada pukul 8 pagi dan tamat pada pukul 12 tengah hari. Sebelum mula kelas, pelajar akan diajar untuk membersihkan diri, menggosok gigi dan bersarapan sambil membaca buku.

“Bagi kelas Bahasa Melayu, kami akan ajar kemahiran asas seperti mengenal huruf, mengeja dan menulis manakala kelas Matematik atau Kalas Ata'u (dalam bahasa Bajau Laut) biasanya pelajar diajar mengenal nombor dan teknik mengira seperti aktiviti menyusun pensil warna mengikut pola nombor.


Bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas, antara subjek yang diajar Mastal Arikik ialah Bahasa Melayu, Matematik serta Seni dan Kebudayaan. Kredit gambar Iskul Sama DiLaut Omadal.

"Sebagai sekolah yang berada di sebuah pulau, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memberi pendidikan dan penekanan mengenai penjagaan laut kepada setiap pelajar. Oleh itu, mata pelajaran Marin turut diperkenalkan dengan matlamat mendidik pelajar menjaga laut dan sekitarnya,” katanya, menambah bagi subjek sains kehidupan pelajar diajar mengenali fungsi benda yang ada di sekeliling mereka.

Iskul berkeluasan kira-kira 237 meter persegi dan mempunyai 4 buah kelas. Laman Iskul hanya boleh digunakan sekiranya air laut surut sepenuhnya bagi membolehkan sebarang aktiviti permainan secara fizikal seperti bermain bola sepak.   

KLINIK MINI ISKUL


antara penyakit utama yang sering menyerang anak-anak Bajau Laut ialah kudis buta dan kudis api disebabkan kurangnya akses kepada sistem perkhidmatan kesihatan asas serta kondisi perumahan mereka yang rata-ratanya tiada akses kepada air bersih.

Sementara itu, bagi guru sukarelawan Iskul, Jefry Musa, 28, yang berasal dari Kuantan, Pahang, pihak sekolah bukan sahaja menyediakan ruang belajar yang selesa untuk pelajar, bahkan turut menyediakan pelbagai perkhidmatan sosial termasuk klinik mini Iskul.

Dengan adanya klinik mini ini, pelajar dan masyarakat setempat Pulau Omadal mendapat akses kepada ubat-ubatan bagi penyakit tidak kritikal seperti sakit kepala, batuk, dan masalah kulit. 

Beliau berkata, antara penyakit utama yang sering menyerang anak-anak Bajau Laut ialah kudis buta dan kudis api disebabkan kurangnya akses kepada sistem perkhidmatan kesihatan asas serta kondisi perumahan mereka yang rata-ratanya tiada akses kepada air bersih.

“Klinik yang terdekat sebelum ini ialah Klinik di Pulau Bum-Bum yang mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan dan Klinik Semporna yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari Pulau Omadal dengan menaiki bot. 

"Kita wujudkan klinik ini kerana memikirkan komuniti di sini amat memerlukan kepada ubat-ubatan asas kerana klinik komuniti terletak jauh dari pulau ini. Bayangkan ubat-ubatan seperti Panadol dan ubat antibiotik yang amat mudah diakses oleh kita namun ianya suatu yang hampir mustahil buat komuniti di sini untuk mendapatkannya.

"Lagipun kita ingin pastikan anak-anak murid Iskul dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat dan ceria. Kita tidak ingin melihat mereka sakit walaupun hanya sekadar sakit kulit biasa. Ini kerana sekiranya penyakit jangkitan kulit tidak dirawat dengan baik, ia boleh mengakibatkan masalah lebih besar seperti menjejaskan kesihatan jantung. Itulah harapan kami guru-guru di sini," jelasnya.

Jefry turut bercakap tentang Program Jaringan (Outreach Programme) yang melibatkan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Fakulti Pertanian dalam aktiviti bercucuk tanam secara hidroponik yang turut dilengkapi dengan sistem solar pada pam.

Program untuk membantu menambahkan kemahiran pertanian termasuk penanaman secara hidroponik kepada penduduk setempat di Pulau Omadal itu juga mendapat kerjasama Maybank.

“Aktiviti ini membantu kami mendapatkan sumber sayuran yang segar seperti sawi, kangkong dan bayam. Sayur-sayuran yang ditanam di dalam pasu sebelum ini juga lebih segar dan berkualiti hasil dari pembelajaran berkaitan pembajaan oleh UPM.

“Saya berharap Iskul dapat menambah lebih banyak subjek pembelajaran asas yang lain supaya anak-anak di sini lebih terdedah kepada ilmu baharu, terutamanya ilmu yang melibatkan penggunaan teknologi dan Internet memandangkan masyarakat Bajau Laut masih kurang mendapat pendedahan mengenainya,” katanya. 

HARAPAN MERDEKA


Kegigihan salah seorang pelajar Iskul jelas terpancar biarpun adiknya terbaring di ribanya ketika kelas sedang berlangsung. Kredit gambar Iskul Sama Di Laut Omadal.

Diminta mengulas mengenai harapan anak-anak Bajau Laut sempena Hari Kemerdekaan, Jefry berkata, tiada apa yang dapat menggembirakan mereka selain terus menikmati suasana pembelajaran formal di sekolah serta mendapatkan kemudahan asas seperti perkhidmatan kesihatan dan kemudahan air bersih.

Setakat ini Iskul berusaha menyediakan tangki tadahan air hujan sebanyak 100 gelen bagi setiap rumah namun ianya masih kurang mencukupi kerana air bersih hanya boleh didapati sekiranya cuaca hujan.

Justeru pihak Iskul amat mengharapkan agar pihak berwajib dapat mendengar keluhan dan mengambil peduli setiap masalah yang dihadapi pihak pengurusan Iskul dalam menyediakan perkhidmatan terbaik buat komuniti Bajau Laut di Pulau Omadal.

"Ketika kami mula menubuhkan Iskul hasil bantuan pelbagai pihak sekitar tujuh tahun yang lepas, pelbagai onak duri telah ditempuhi. Pada asalnya kita tiada penempatan khas untuk belajar, ada kalanya kami mengajar di tepi-tepi rumah ataupun di bawah pokok, namun kini kami berjaya menyediakan sebuah sekolah dengan ruang belajar yang agak selesa.

"Namun begitu, apa yang kami dapat sediakan buat masa ini memang tidak mencukupi. Harapan kami agar lebih banyak pihak membantu khususnya daripada segi kewangan, selain kami turut memerlukan kepakaran dan kemahiran bagi mempertingkat akses perkhidmatan kesihatan dan perubatan.

“Kami juga berimpian untuk merapatkan jurang pendidikan bukan hanya di sini sahaja tetapi juga sekolah di sekitar kepulauan ini, kerana masyarakat amat memerlukan jaringan persekolahan yang lebih sistematik dan terangkum," harapnya.

Jeffry menambah, kemerdekaan yang sedang dikecapi kini adalah hasil keringat nenek moyang terdahulu dan tugas generasi zaman ini adalah membebaskan komuniti yang masih kurang bernasib baik agar semua pihak berpeluang menikmati kemajuan dan kemakmuran negara secara holistik.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan