RENCANA

KBAT MEMBENTUK INSAN HEBAT ATAU MEMBAWA MUDARAT?

17/01/2024 08:43 AM

Oleh Muhammad Basir Roslan

Tidak menghairankan jika di era “Eh, anak kau dapat berapa A?” ini ramai ibu bapa begitu mengutamakan pencapaian anak mereka dalam persekolahan, hinggakan ada yang sanggup memarahi si anak jika gagal mencatatkan keputusan cemerlang sekalipun baru di Tahun Satu.

Akan tetapi, sejak beberapa tahun belakangan ini, semakin ramai ibu bapa menuding jari kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan pembudayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kurikulum sebagai “dalang” di sebalik kegagalan anak mereka mencatat prestasi cemerlang, khususnya bagi murid Tahap Satu, iaitu Tahun Satu hingga Tiga. 

“Memang timbul rasa nak marah bila anak tunjukkan markah ‘0’ pada kertas ujian Matematik. Saya ingatkan dia tak belajar, tapi apabila tengok soalan yang dikemukakan, rasa marah saya hilang diganti rasa kasihan,” kongsi seorang ibu kepada Bernama.

“Contohnya, ada soalan minta murid nyatakan buah kegemaran mereka dan jumlah buah itu. Akan tetapi, tidak dinyatakan soalan berpandukan tiga gambar buah, iaitu epal, pisang dan oren. Anak saya gemar buah anggur, jadi pastinya jawapan dia bukan epal, pisang atau oren. Maka ‘0’ markah,” tambah penjawat awam yang mahu kekal sebagai tanpa nama itu. 

"Wahai KPM, tolonglah ubah ataupun kaji semula silibus Tahap Satu ini. Contohnya dalam subjek Bahasa Melayu, ada soalan-soalan yang memerlukan murid mencari makna tersurat dan tersirat sesebuah kenyataan. Saya yang dah tua pun sukar nak memahami bentuk soalan sebegini, bagaimana pula saya nak memahamkan anak saya yang baru berusia lapan tahun?,” keluh seorang lagi ibu dalam laman sosial Facebook.

Ketika dihubungi Bernama kemudian, wanita bernama Nur Hidayu Chi Hasin dan berusia 40 tahun itu, berkata anaknya kini hilang minat belajar, lebih-lebih lagi kerana si anak masih lemah dalam 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.

  

KBAT UNTUK JADI INSAN HEBAT

KBAT diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2013, menggantikan Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif yang digemblengkan dalam Kurikulum Kebangsaan sejak 1994. 

Bertujuan memupuk pemikiran aras tinggi sejak awal usia bagi memenuhi keperluan pendidikan zaman kini, pelaksanaan KBAT di Tahap Satu bagaimanapun dilihat  oleh ibu bapa dan segelintir pihak berkepentingan sebagai kurang berkesan kerana tempoh tiga tahun itu sewajarnya ditumpukan pada 3M.

Bernama meninjau beberapa buah prasekolah di sekitar ibu kota, merangkumi institusi kerajaan dan juga kendalian swasta, bagi merungkai “kejutan budaya KBAT” yang dialami oleh anak-anak di Tahun Satu sekalipun telah dipersiap semasa di tadika. 


Pakar pendidikan berpandangan KPM sewajarnya menekankan penguasaan 3R terlebih dahulu terhadap murid Tahap 1.

Menurut seorang guru prasekolah yang mahu dikenali sebagai Cikgu Sue, pendidikan awal kanak-kanak digubal berdasarkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KPM dan semestinya anak-anak terbabit turut diasuh berfikir di luar kotak.

“Sedikit-sebanyak murid prasekolah turut didedahkan kepada KBAT. Misalnya semasa pembelajaran Sains Awal, belajar tentang anggota badan, murid ditanyakan mengapa manusia perlukan hidung dan mereka perlu ceritakan kegunaan hidung dalam kehidupan seharian selain daripada fungsi menghidu. Proses ini memerlukan murid berfikir secara kritis dan kreatif,” jelasnya. 

Menurutnya lagi, KBAT di peringkat prasekolah dilaksanakan bagi meneroka kefahaman serta menguji tahap kemahiran berfikir murid, di samping menggalakkan pembelajaran dan pengajaran interaktif.

Pengusaha sebuah tadika berkonsep Islamik di Cheras pula berkata di institusi itu, murid didedahkan kepada KBAT seawal usia lima tahun.  

"Lebih menarik, soalan-soalan KBAT, khususnya yang berkaitan subjek Sains, akan kita kaitkan dengan kebesaran dan kekuasaan Allah,” katanya yang mahu dikenali sebagai Puan Siti. 

 

BELUM MAHIR 3M 

Pakar pendidikan sebelum ini melihat pelaksanaan KBAT dalam sukatan pelajaran sekolah rendah “tidak salah”, kerana menurut mereka kaedah itu dapat melatih daya fikir kreatif dan kritis murid. Namun bagi Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (Kongres) Mohd Azizee Hasan, Tahap Satu adalah terlalu awal untuk didedahkan kepada KBAT.

Katanya rata-rata murid Tahap Satu belum menguasai 3M dengan baik, sekali gus menyukarkan mereka untuk memahami dan menganalisis soalan beraras tinggi.

"Bayangkan, anak-anak ini dahulunya ketinggalan dari sudut pembelajaran di peringkat prasekolah ketika negara kita dilanda pandemik COVID-19 beberapa tahun sudah, dan apabila mereka melangkah masuk sekolah Tahun Satu, didedahkan pula kepada soalan KBAT.


Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (Kongres) Mohd Azizee Hasan

"Apabila ini berlaku, sudah pasti mereka akan berasa tertekan kerana menulis dan mengeja pun masih bertatih. Apatah lagi ingin menjawab soalan-soalan KBAT," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Menurutnya, Kongres melihat perkara itu sebagai satu isu yang serius berikutan banyak aduan diterima daripada ibu bapa dan juga guru sendiri. 

Tambah beliau, tahap pemahaman seseorang murid juga berbeza dan bergantung pada banyak faktor, antaranya darjah kecedasan otak (IQ), latar belakang serta persekitaran pembelajaran.

“Mungkin ada murid yang tahap pembelajarannya masih lemah dan memerlukan bimbingan penuh guru. Oleh yang demikian, hal ini memberi kesan langsung kepada murid yang sepatutnya berasa gembira untuk belajar. Namun, disebabkan ada soalan-soalan berbentuk KBAT ini, mereka jadi tertekan dan semakin hilang minat belajar,” kata beliau.   

 

BERI KESAN PSIKOLOGI

Pandangan itu disokong oleh Pakar Perunding Psikologi Perkembangan (Kanak-kanak dan Remaja), Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai yang berkata pada peringkat usia tujuh hingga sembilan tahun, kanak-kanak hanya mampu membuat keputusan mudah.

“… tahap pemikiran mereka bukan pada tahap abstrak seperti orang dewasa.

“Penerapan unsur-unsur abstrak dalam PdP (Pembelajaran dan Pengajaran) adalah tidak bersesuaian dengan tahap perkembangan kognitif (kemampuan mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu) mereka,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, perkembangan kognitif juga bergantung pada pendedahan awal murid semasa peringkat prasekolah, dan disebabkan oleh sukatan pelajaran prasekolah berbeza dari satu institusi ke satu institusi, murid yang lahir dari pelbagai prasekolah mempunyai kebolehan kognitif berbeza.


Tahap pemahaman seseorang murid juga berbeza, bergantung pada banyak faktor, antaranya darjah kecedasan otak (IQ), latar belakang serta persekitaran pembelajaran.

   Selain itu, perkembangan kognitif KBAT murid Tahap Satu juga banyak bergantung pada aspek sosialisasi di rumah dan persekitaran mereka.

“Jika kaedah keibubapaan di rumah menyarankan anak agar tidak banyak bertanya, berhujah dan hanya mengikut arahan, kemungkinan membentuk KBAT dalam segenap aspek kehidupan adalah amat rendah.

"Ini akan membuatkan potensi perkembangan kognitif seperti membuat keputusan mudah dan menyelesaikan masalah tidak berlaku dengan baik,” kata beliau yang menyarankan pergaulan awal dengan orang dewasa bagi membantu pembentukan kognitif KBAT dalam kalangan kanak-kanak.

"Bukan mudah untuk mengajar KBAT seperti yang dirancang kerana penerapan aspek ini memerlukan persediaan holistik semua pihak, iaitu sekolah, keluarga dan lingkungan masyarakat.

"Jika kita hanya mengharapkan KBAT terbentuk melalui proses pembelajaran formal di sekolah, ini satu kesilapan cukup besar kerana perkembangan kognitif KBAT perlu berlaku secara serentak di tiga lapisan sosial ini. Malah, lebih banyak masalah berlaku jika murid yang mempunyai masalah 3M tidak dibantu dan dipantau perkembangan KBAT mereka secara menyeluruh," tegas beliau.

 

JELMAKAN SEMULA LINUS

Bagi menyelesaikan isu yang sudah berulang kali diuar-uar oleh pihak berkepentingan itu, Mohd Azizee yang juga Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia, mencadangkan agar pengaplikasian KBAT bermula dari murid Tahap Dua. 

“Biarkan murid Tahap Satu menguasai 3M sepenuhnya. Ini bertepatan dengan hasrat Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sendiri yang mahu menekankan penguasaan 3M Tahap Satu ketika beliau menghadiri Majlis Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027, Disember lalu. 

"Oleh itu, saya berharap supaya sistem yang pernah diamalkan, iaitu Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dijelmakan kembali serta diberikan nafas baharu yang lebih segar dan memenuhi kehendak serta standard pendidikan terkini," katanya.

Menurut beliau, LINUS mampu melahirkan murid-murid celik 3M namun dihentikan pada 2019, diganti dengan sistem literasi yang digubal oleh sekolah masing-masing.

"Jika kita lihat pencapaian terkini Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, kita dapati terdapat kemerosotan yang agak signifikan (dari segi penguasaan 3M). Boleh jadi antara puncanya ialah penutupan sesi persekolahan akibat COVID-19 yang membawa kepada kelemahan penguasaan asas 3M murid,” katanya. 

Lebih-lebih lagi kata beliau, setakat ini tidak ada pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani isu keciciran murid dalam pembelajaran akibat pelbagai faktor termasuk ponteng dan berhenti sekolah lebih awal kerana masalah kemiskinan.

Katanya, beliau yakin pelaksanaan semula LINUS yang lebih segar, fleksibel dan komprehensif dapat mengembalikan keseronokan murid untuk belajar.

Penggubalan Kurikulum 2027 bakal dilaksanakan sebagai sebahagian usaha KPM bagi merangka pelan pendidikan baharu negara yang bakal tamat pada 2025.

 

SESUAIKAN IKUT TAHAP

Sementara itu, Prof Madya Dr Husaina Banu Kenayathulla, pensyarah kanan di Jabatan Pengurusan, Perancangan dan Dasar Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, berpandangan sekiranya ilmu dan elemen KBAT ingin terus diterapkan, pelaksanaan perlu disesuaikan dengan tahap pemikiran kanak-kanak dan kurikulum sekolah.

Apatah lagi berdasarkan keperluan pendidikan sekarang, murid-murid perlu ada kemahiran berfikir sepertimana yang ditekankan dalam semakan Hierarki Taksonomi Bloom oleh Anderson dan Krathwohl (2001), iaitu daya mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta, katanya.  


pensyarah kanan Jabatan Pengurusan, Perancangan dan Dasar Pendidikan, Fakulti Pendidikan UM Prof Madya Dr Husaina Banu Kenayathulla

"Pada pandangan saya, guru-guru perlu lebih faham dengan maksud sebenar KBAT. Kemahiran berfikir aras tinggi perlu diaplikasikan dalam pengajaran di kelas, terutamanya aktiviti yang melibatkan visual, permainan digital, persekitaran dan sebagainya.  

"Contohnya, untuk memupuk kemahiran literasi kewangan, anak-anak di prasekolah boleh didedahkan kepada permainan kewangan yang melibatkan aktiviti membeli-belah dan berbelanja. Aktiviti ini disusuli soalan yang dapat menjurus kepada pemikiran aras tinggi dalam membuat keputusan berbelanja," jelasnya.

Beliau juga melihat guru perlu diberikan masa secukupnya bagi membuat perancangan aktiviti pembelajaran yang melibatkan pelbagai tahap KBAT.

Latihan dan bimbingan secara profesional berkaitan KBAT juga perlu disediakan agar guru mampu mengendalikan tugas dengan lebih yakin bagi membolehkan murid mudah faham dan mampu menjawab soalan-soalan dengan cemerlang.

"Selain itu, guru turut perlu diberikan autonomi, bukan untuk menentukan pelajar mana yang sesuai untuk mengikuti KBAT tetapi autonomi untuk menentukan aras KBAT yang sesuai dengan pelajar mereka," katanya, menambah latihan kefahaman berkaitan KBAT perlu turut didedahkan oleh ibu bapa.

Contohnya dalam perbualan dengan anak, ibu bapa boleh menanyakan soalan-soalan yang membuatkan anak-anak berfikir, katanya, menambah KBAT sangat penting jika mahu mewujudkan pendidikan bertaraf dunia. 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan