RENCANA

PENJANA-CENDANA, SUNTIK SEMANGAT PENGUSAHA KRAF SABAH

24/09/2020 09:07 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Krisis pandemik COVID-19 yang melanda negara turut memberi impak yang cukup besar kepada usahawan kraf tempatan terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman termasuklah di Sabah dan Sarawak. 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) (berkuatkuasa pada 18 Mac lepas), yang memerlukan rakyat hanya duduk di rumah, menjadi cabaran besar buat golongan itu lebih-lebih lagi mereka yang selama ini bekerja ‘keluar masuk’ hutan dan bergantung dengan hasil rimba sebagai punca rezeki. 

Bukan sahaja aktiviti jualan dan tempahan terjejas, bahkan aktiviti promosi secara ‘turun padang’ juga tidak dapat dijalankan, sekaligus memerlukan mereka mengusahakan pelbagai inisiatif untuk kelangsungan hidup dan keluarga.

 

PANDEMIK JEJAS PENDAPATAN


Empin Galing, Pengusaha Kraf Anyaman Rotan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi usahawan kraf hasil rimba berasaskan rotan, Empin Galing yang berasal dari Kampung Gansurai yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kota Belud, Sabah, sumber pendapatan utama beliau sepenuhnya terjejas berikutan krisis itu.  

“Impak daripada krisis ini saya dan rakan-rakan sekampung yang turut mengusahakan kraf anyaman rotan tidak dapat memasarkan produk sekaligus mengakibatkan perusahaan jatuh merudum kerana pembeli dan yang membuat tempahan panik dan takut menanggung risiko kerugian disebabkan pandemik yang tidak dapat dijangka bila akan berakhir.

“Ia pastinya satu ‘tamparan’ hebat. Namun mujurlah kami tinggal di kampung jadi bolehlah berusaha mencari sekadar apa yang boleh dimakan untuk keluarga setiap hari terutama ketika awal-awal PKP dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Empin, 60, dari suku kaum Dusun Tindal yang juga merupakan Ketua Kampung Gansurai, sudah hampir 10 tahun berkecimpung dalam bidang perusahaan kraf anyaman rotan saga. 

Selain menerima tempahan dari serata Malaysia, Empin yang juga bapa kepada lima orang cahaya mata aktif mengadakan pameran di Sabah dan Semenanjung termasuk ketika Hari Kraf Kebangsaan (HKK)  anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Kali terakhir beliau berkunjung ke Semenanjung mempromosikan produk kraf ialah pada Mac lepas sewaktu HKK di Kuala Lumpur sebelum semuanya seakan ‘terhenti’ selepas negara dilanda pandemik COVID-19. 

 

PENJANA-CENDANA BERI SINAR 


Pelan PENJANA bagi Industri Kreatif adalah sebuah inisiatif yang pelbagai untuk memulihkan industri kreatif termasuk juga seni dan budaya, di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek PENJANA, yang bakal ditadbir dan diurus oleh MyCreative Ventures dan CENDANA, di bawah pengawasan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Empin dan rakan-rakannya kini boleh dikatakan berada dalam fasa untuk ‘bangkit’ bagi memulihkan perniagaan selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Disokong pula dengan inisiatif kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), beliau berkata ia umpama memberi ‘sinar baharu’ untuk kembali meneruskan perniagaan kraf mereka. 

Merujuk kepada pelan PENJANA bagi industri kreatif melalui Inisiatif Pemulihan CENDANA, Empin berkata ia diharap dapat menggerakkan kembali aktiviti serta perniagaan industri itu sebagai sumber pendapatan bagi penggiatnya. 

“Saya dan rakan-rakan sudah mengisi permohonan Inisiatif Pemulihan CENDANA di bawah kategori Pilihan Industri Seni Kraf CENDANA. Bantuan yang diperoleh akan dimanfaatkan untuk membeli bahan mentah seperti rotan pulur pelbagai saiz dan bahan keperluan lain yang berkaitan dengan perniagaan.  

“Tidak dinafikan, ia sekurang-kurangnya menjadi ‘pengubat’ kepada kerugian yang kami tanggung semasa berdepan krisis pandemik ini. Semoga inisiatif ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan yang terlibat dan memberi suntikan semangat kepada mereka untuk kembali meneruskan perniagaan," katanya. 

 

BERSIFAT HOLISTIK, TERANGKUM


Dr Ramli Dollah, Ketua Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS). -- Gambar ihsan Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Menyifatkan inisiatif PRIHATIN dan PENJANA bertepatan untuk menyokong pemulihan ekonomi rakyat, Ketua Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Ramli Dollah berkata, Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman adalah antara kumpulan yang teruk terjejas.

Kedua-dua inisiatif berkenaan yang bersifat holistik dan terangkum amatlah diperlukan bagi memastikan tiada pihak yang tercicir daripada menerima bantuan yang diberikan oleh kerajaan. 

“Isu utama yang perlu diberi perhatian ialah pemulihan ekonomi rakyat disebabkan pandemik COVID-19. Dalam soal ini bukan sahaja bantuan perlu diberikan bahkan kaedah penyampaiannya juga perlu disesuaikan bagi memastikan rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman tidak terkecuali meraih manfaat. 

“Di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak sebagai contoh, talian Internet seringkali menjadi kekangan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mahir menggunakan teknologi untuk mengisi borang permohonan secara dalam talian bagi bantuan yang disediakan kerajaan, " katanya yang berasal dari Semporna, sambil menambah, penambahbaikan wajar dilakukan agar bantuan dapat sampai kepada 'tangan’yang sepatutnya. 

Menurut beliau, inisiatif itu juga secara tidak langsung membuktikan keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira batas etnik dan sempadan geografi.

Oleh yang demikian, rakyat, katanya rakyat harus bijak memilih pemimpin terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung pada Sabtu ini (26 Sept). 

“Pemimpin harus membuktikan mereka benar-benar layak dan mampu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat bukan sekadar hebat berpolitik. Rakyat pula pada masa sama harus bijak memilih pemimpin yang dapat membela nasib mereka,” katanya. 

Melalui pakej PRIHATIN dan PENJANA, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 17 Sept lepas berkata, sejumlah 1.93 juta rakyat Sabah dan Sarawak telah menerima manfaat Bantuan Prihatin Nasional bernilai lebih RM2.1 bilion.

Di samping itu, hampir 100,000 perniagaan di Sabah dan Sarawak termasuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana telah menerima manfaat bernilai RM1.4 bilion melalui saluran seperti Subsidi Upah Pekerja, Geran Khas Prihatin, serta pinjaman mikro TEKUN dan BSN untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro.

 

RUANGAN SISI

CENDANA

Menurut laman sesawang cendana.com.my, pelan PENJANA bagi Industri Kreatif adalah sebuah inisiatif yang pelbagai untuk memulihkan industri kreatif termasuk juga seni dan budaya, di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek PENJANA, yang bakal ditadbir dan diurus oleh MyCreative Ventures dan CENDANA, di bawah pengawasan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Ia telah dirangka khusus untuk membantu industri seni, budaya, hiburan dan pementasan, sama ada dalam kalangan para penggiat mahupun perniagaan yang berteraskan seni yang terkesan dengan pandemik COVID-19 untuk bangkit semula dan meneruskan aktiviti kreatif mereka. Inisiatif-inisiatif di bawah CENDANA adalah bertumpu khusus kepada industri-industri seni dan budaya.

Objektif utama adalah untuk membantu aktiviti dan perniagaan industri kreatif untuk kembali meneruskan operasi dan kekal rancak demi menyokong pendapatan penggiat-penggiat industri.

Antara Inisiatif Pemulihan Cendana termasuklah Pilihan Industri Seni Kraf CENDANA yang bertujuan meningkatkan industri kraftangan Malaysia dengan menawarkan pengiktirafan dan penghargaan khas kepada artisan, pembuat kraf dan pengeluar kraf tradisional Malaysia dan perdagangan yang terancam untuk kelestarian ekonomi kraf Malaysia.

Kategori ini memilih dan memberi insentif sehingga RM30,000 kepada artisan, pembuat dan pengeluar kraf yang mahir menerusi perantara yang terlibat dalam sektor kraf Malaysia di seluruh negara untuk tujuan pembangunan dan pengeluaran produk serta menyokong penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan