AM > BERITA

LIMA LALUAN DITUTUP SEMENTARA SEMPENA HARI PENAMAAN CALON PRK KKB ESOK

26/04/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR,  26 April (Bernama) -- Lima laluan jalan raya di sekitar Kuala Kubu Baharu akan ditutup sementara dan dilencongkan bagi melancarkan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) esok.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata jalan yang terlibat bagi penutupan sementara itu ialah Jalan Merdeka, Jalan Abdul Hamid, Jalan Dato Muda Jaafar, Jalan Mat Kilau dan Jalan Kamarudin.

“Penutupan sementara jalan sempena hari penamaan calon pada esok bermula pada 12.01 tengah malam (27 April) hingga selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan penutupan sementara itu, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif lain seperti Jalan Kubu, Jalan Dato Tabal, Jalan Rasathurai, Jalan Dato Balai, Jalan Syed Masyor dan Jalan Pahang.

Menurutnya pengguna dinasihatkan agar mematuhi arahan penutupan jalan dan lencongan itu yang dibuat bagi melancarkan aliran trafik.

Proses penamaan calon bagi PRK berkenaan dijadual berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor bermula 9 pagi.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan