Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

APM Terima 80 Kenderaan Baharu, Tingkat Kecekapan Operasi

25/06/2025 07:41 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima aset kenderaan baharu iaitu 30 ambulans dan 50 pacuan empat roda bagi memperkukuh keupayaan logistik serta kecekapan operasi di negeri.

APM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan aset diagihkan kepada APM negeri meliputi zon di seluruh negara itu menjadi pemangkin semangat untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pengagihan aset ini merupakan inisiatif strategik bagi menyokong agenda kesiapsiagaan nasional dalam mendepani pelbagai bentuk kecemasan dan bencana berskala kecil atau besar.

“Kenderaan ini akan memacu keberkesanan operasi lapangan, terutamanya di luar bandar, pedalaman serta zon berisiko tinggi yang memerlukan akses segera dan pantas,” menurut kenyataan itu. 

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed merasmikan Majlis Penyerahan Aset Kenderaan Ambulans itu di Ibu Pejabat Pertahanan Awam, Kajang, Selangor semalam.

APM memaklumkan aset baharu itu memperkasakan keupayaan pasukan itu khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman kerana dilengkapi peralatan asas perubatan dan peralatan menyelamat nyawa lebih efisien sekali gus meningkatkan keberkesanan respons kecemasan di lapangan. 

Selain itu, APM turut berhasrat menjalin kerjasama strategik bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam aspek penggunaan ambulans secara bersepadu di lapangan bagi mengoptimumkan sumber sedia ada dua agensi tersebut.

Hasrat itu disuarakan Aminurrahim kepada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab semalam. 

“Kerjasama juga bertujuan memperluas liputan bantuan kecemasan khususnya di kawasan kurang akses kepada perkhidmatan kesihatan segera yang memberikan manfaat kepada rakyat menerusi sistem respons kecemasan lebih cekap dan menyeluruh," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan