Oleh Muhammad Nabil Alma Azman
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Kelibat orang ramai menarik bagasi beroda dengan pelbagai saiz begitu sinonim dilihat di lapangan terbang, stesen bas mahupun kereta api, namun situasi itu juga turut sama mewarnai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Sejak berlangsungnya PBAKL di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang menghimpunkan ribuan pencinta buku dari serata dunia pada 23 Mei lepas, bagasi beroda nampaknya menjadi pilihan buat kebanyakan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur, berbanding beg kain mahupun beg galas.
Bagi pengunjung yang ditemui Bernama, mereka menyatakan pemilihan bagasi beroda itu langkah terbaik, kerana memudahkan pencinta buku memborong pelbagai genre buku yang ditawarkan pada harga sangat istimewa, sepanjang 10 hari berlangsungnya pesta tersebut.
Ini turut diakui Sharifah Abu Omar, 46, suri rumah dari Ipoh, Perak yang saban tahun pasti tidak akan ketinggalan menghadiri PBAKL, dengan bagasi beroda untuk mendapatkan puluhan novel kegemarannya.
“Minat membaca saya memang dah lama, genre kegemaran saya dari dulu sampai sekarang masih lagi kekal iaitu romance dan saya ada juga ikuti karya penulis tempatan kita iaitu Acik Lana dan Muna Mahirah.
“Tahun sebelumnya, saya selalu membawa kakak dan anak perempuan sebagai peneman, tetapi pada tahun ini saya hanya bawa anak saya sahaja memandangkan dia baru tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya yang melihat PBAKL sebagai platform terbaik memupuk minat membaca khususnya dalam kalangan generasi muda.
Tidak sekadar menjadi pilihan dalam kalangan ibu bapa, penuntut pengajian tinggi mahupun pencinta buku, bagasi beroda juga turut sama digunakan pembeli peribadi Aishahtul Humaira’ Amal Fahmi atau mesra disapa Ecah, 18, yang menyifatkannya sangat membantu meringankan beban yang dipikul untuk mendapatkan buku kiriman pelanggannya.
“Buku dibeli ini ada dalam pelbagai saiz, sama ada kecil serta besar. Biasanya, saya boleh muatkan belasan buah buku dalam satu bagasi.
“Saya baru sahaja habis SPM dan akan masuk ke Kolej Matrikulasi. Hasil diperoleh sebagai pembeli peribadi ini, akan dapat saya gunakan sebagai duit perbelanjaan nanti,” katanya.
Mengakui trend membawa bagasi beroda itu di PBAKL, penjaga reruai Awan Litra Muhammad Akif Iman Mohd Zaidi berkata kebiasaannya, pengunjung akan membawa beg sedemikian rupa ketika promosi Happy Hour untuk memborong buku yang ditawarkan pada harga murah.
“Apabila pengunjung dengar sahaja laungan Happy Hour mereka terus serbu booth saya, sebab tidak mahu melepaskan peluang promosi yang kami adakan sebanyak lima kali sehari,” katanya.
Selain pelbagai genre buku ditawarkan pada harga istimewa, PBAKL yang bertemakan “Buku: Membaca, Memimpin” dan akan berakhir Ahad ini, turut menawarkan pelbagai acara menarik serta merupakan edisi paling besar dan dinamik, selain turut menampilkan segmen khas bersempena Kepengerusian ASEAN 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial