DUNIA > BERITA

Madinah Kedudukan Ketiga Pengeluar Kurma Terbesar Arab Saudi

30/05/2025 09:52 PM

MADINAH (Arab Saudi), 29 Mei (Bernama-SPA) -- Wilayah Madinah merupakan pengeluar kurma ketiga terbesar di Arab Saudi, dengan pengeluaran tahunan sekitar 344,000 tan daripada lebih lapan juta pokok kurma, yang terkenal menghasilkan antara kurma terbaik di negara itu.

Menurut laporan Dewan Perniagaan Al-Madinah Al-Munawarah, Wilayah Qassim mendahului pengeluaran kurma kebangsaan pada akhir 2023, merangkumi 30 peratus (578,100 tan) daripada jumlah keseluruhan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Ia diikuti Wilayah Riyadh dengan 24 peratus (453,100 tan), Madinah 18 peratus (343,100 tan) dan Wilayah Timur sebanyak 14 peratus (258,700 tan).

Laporan itu menekankan kelebihan daya saing Madinah dalam penanaman kurma, sekali gus membuka peluang bagi pelaksanaan projek inovatif dalam bidang pertanian dan pengeluaran. Ia turut menggalakkan pembangunan ladang moden yang dilengkapi teknologi pengairan canggih.

Permintaan terhadap pengeluaran kurma organik juga meningkat, didorong oleh kecenderungan pengguna terhadap produk semula jadi dan sihat, di samping peranan penyelidikan dan pembangunan yang semakin penting dalam mempertingkatkan varieti dan kualiti hasil tanaman.

Laporan itu turut mengetengahkan prospek pelaburan dalam pembuatan produk berasaskan kurma seperti pes kurma sebagai alternatif gula semula jadi, sirap kurma untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, serta pelbagai produk termasuk pastri, manisan, minuman dan suplemen tenaga yang dipasarkan sebagai produk kesihatan.

Potensi eksport yang besar turut dikenal pasti, khususnya menerusi penubuhan syarikat khusus dalam pembungkusan kurma yang menepati piawaian antarabangsa bagi menarik pembeli global.

Selain itu, terdapat ruang untuk meneroka pasaran eksport baharu di Eropah, Asia dan Amerika Utara.

Laporan berkenaan turut mencadangkan pelaksanaan projek mengumpul biji kurma daripada pengguna untuk digunakan dalam penghasilan makanan haiwan serta barangan mesra alam seperti kayu industri berasaskan hasil sampingan pokok kurma.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan