Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Khamis, didorong oleh penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dalam perkembangan bercampur-campur mengenai konflik Asia Barat, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut terjejas oleh pendirian para pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan kadar faedah, membawa kebimbangan bahawa kadar faedah akan kekal tinggi untuk tempoh lebih lama.
Minit mesyuarat Fed pada akhir April menunjukkan bahawa ramai penggubal dasar sedang mempertimbangkan kenaikan kadar faedah dalam persekitaran inflasi meningkat.
“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh kenaikan harga minyak mentah dan perkembangan yang menggalakkan dalam sektor automotif Kesatuan Eropah (EU), terutamanya dalam permintaan kenderaan elektrik,” katanya kepada Bernama.
Harga minyak meningkat pada Khamis dan pelabur memantau rundingan damai antara AS dan Iran manakala bekalan yang terhad dan inventori AS yang berkurangan memberikan sokongan tambahan kepada pasaran.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent naik 0.91 peratus kepada US$105.97 setong.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 menurun tujuh sen kepada 887 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan tiga sen kepada 767.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial