Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MFA Perkukuh Ekosistem Francais Malaysia Menerusi Pembangunan Modal Insan TVET

22/05/2026 09:00 AM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Persatuan Francais Malaysia (MFA) sedang meningkatkan usaha memperkukuh ekosistem francais melalui program strategik dan kerjasama industri-kerajaan dengan menumpu kepada pembangunan modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusinya Datuk Dr Radzali Hassan berkata persatuan itu kini sedang bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam inisiatif TVET yang direka khas untuk industri francais.

“Kami amat berharap program ini akan mendapat sokongan daripada semua anggota MFA dan pemain francais merentasi semua sektor,” katanya pada majlis perasmian Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2026 (FIM 2026), di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Radzali berkata beberapa jenama francais, termasuk 7-Eleven, McDonald's dan Marrybrown, telahpun mengintegrasikan program berkaitan TVET ke dalam operasi perniagaan mereka, dengan lebih ramai pemain dijangka mengikuti jejak langkah tersebut susulan maklum balas yang menggalakkan.

Katanya, MFA juga akan melancarkan Cabaran Perniagaan Francais Universiti ASEAN dengan kerjasama persatuan francais di Filipina, Indonesia, Vietnam dan Singapura untuk memupuk bakat keusahawanan muda dan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi pendidikan francais, inovasi dan pembangunan bakat.

Ad Banner

“Tahun ini juga menandakan satu peristiwa penting kerana kita meraikan kumpulan pertama graduan daripada program Eksekutif Francais Bertauliah (CFE), yang diperkenalkan oleh Persatuan Francais Antarabangsa (IFA).

“Program CFE merupakan program pensijilan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan setakat ini, MFA merupakan satu-satunya persatuan di Malaysia yang mempunyai hak untuk menjalankan program CFE, dengan kerjasama Persatuan Francais Filipina,” katanya.

Radzali berkata berpandukan motonya, ‘Memacu Kecemerlangan Francais’, MFA akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan industri untuk memajukan francais yang berdaya saing, progresif dan mampan di negara ini.

“Kami akan terus menumpu untuk memperkukuh keupayaan industri, mengembangkan pasaran global dan mencipta peluang yang lebih besar kepada usahawan dan jenama francais Malaysia untuk berkembang  dengan jayanya di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Mengenai FIM 2026, Radzali berkata MFA menjangka dapat menarik lebih 25,000 pengunjung dan menjana lebih RM600 juta transaksi sepanjang acara yang berlangsung selama tiga hari itu dari 21-23 Mei.

Beliau berkata FIM 2026 juga mencatatkan penyertaan antarabangsa yang ketara iaitu peningkatan sebanyak 10 peratus termasuk dari Sepanyol, Taiwan, Indonesia, Jepun dan China.

“Ini merupakan satu perkembangan yang mencerminkan aspirasi kolektif untuk meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk utama bagi pengembangan francais, pelaburan dan kerjasama perniagaan rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata FIM telah berkembang menjadi antara pameran francais paling utama di rantau ini, menghubungkan beribu-ribu usahawan, pelabur dan pemilik francais, serta menjana peluang perniagaan yang bermakna dan membawa impak ekonomi.

“Sokongan berterusan daripada pemain industri dan agensi kerajaan telah menjadikan FIM bukan sekadar pameran, tetapi platform strategik untuk pertumbuhan perniagaan, perkongsian pengetahuan dan rangkaian antarabangsa,” katanya.

Acara itu juga turut menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MOU) melibatkan MFA dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), serta MFA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Selain itu, turut adakan pelancaran program TVET MFA dan penyampaian sijil kepada peserta program latihan profesional francais Program Eksekutif Francais Bertauliah (CFE).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan