Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa berikutan pelabur mengambil pendirian berhati-hati akibat ketidakpastian yang meningkat susulan perang yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat(AS)-Israel dan Iran, yang memberi kesan kepada sentimen pasaran.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata situasi semasa adalah merumitkan berikutan isyarat pasaran biasa yang tidak selari dengan pergerakan harga.
“Lazimnya, sekiranya ketegangan antara AS-Israel dan Iran mereda, harga minyak sewajarnya menyusut, dolar AS lemah dan hasil global berkurangan.
“Dalam keadaan ini, harga emas biasanya mendapat manfaat, bukan disebabkan kebimbangan meningkat, tetapi kerana kos memegang emas menjadi lebih rendah apabila hasil sebenar menyusut,” katanya kepada Bernama.
Pasaran di Malaysia ditutup pada 20 Mac (Jumaat) dan 23 Mac (Isnin) sempena Hari Raya Aidilfitri.
Pada akhir dagangan, kontrak bulan semerta Mac 2026 susut kepada US$4,415.9 setiap auns troy daripada US$4,720.10 pada Khamis, April 2026 turun kepada US$4,436.0 setiap auns troy daripada US$4,740.20 dan Mei 2026 rendah kepada US$4,456.2 setiap auns troy daripada US$4,760.4 sebelumnya.
Kontrak Jun, Ogos dan September 2026 turut ditutup lebih rendah kepada US$4,490.10 bagi setiap auns troy berbanding US$4,794.30 pada Khamis.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 11 lot daripada 34 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka merosot kepada 76 kontrak daripada 88 kontrak sebelumnya.
Harga emas fizikal berada pada US$4,466.25 setiap auns troy pada penetapan petang oleh London Bullion Market Association pada 23 Mac 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial