Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Isnin, disokong aliran menaik dalam pasaran niaga hadapan getah serantau serta kenaikan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.
Beliau berkata harga getah kekal disokong oleh data ekonomi China yang lebih kukuh.
“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan terhadap konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah serta kelembapan ekonomi global, khususnya dalam kalangan negara pengguna getah,” katanya kepada Bernama.
Katanya niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Isnin apabila harga minyak melonjak susulan konflik berterusan di Timur Tengah, dengan kontrak getah butadiena Shanghai paling aktif mencecah had tertinggi, manakala asas pasaran yang kukuh serta penurunan yen Jepun turut menyokong harga.
“Harga minyak melonjak sehingga 30 peratus dalam dagangan Asia hari ini, mencecah paras yang kali terakhir dilihat pada 2022 susulan konflik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
Harga minyak mentah Brent kini meningkat 15.71 peratus kepada US$107.25 setong.
Selain itu, beliau berkata indeks harga pengguna (CPI) China meningkat lebih tinggi daripada jangkaan pada Februari kepada 1.3 peratus tahun ke tahun, disokong peningkatan perbelanjaan semasa musim perayaan pada bulan tersebut, manakala harga pengeluar terus mencatat penurunan tetapi pada kadar lebih perlahan daripada jangkaan iaitu 0.9 peratus.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 10.5 sen kepada 793 sen sekilogram, manakala harga lateks pukal naik lapan sen kepada 656 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial